Bengkel tingkatkan mutu Liga Bola Sepak Zon Tengah Sarawak

Spread the love
SIBU, 4 Sept : Ahli Dewan Undangan Negeri Nangka, Dr Annuar Rapaee, memaklumkan sebuah bengkel khas akan diadakan bagi mencari kelemahan dan menambahbaik penganjuran Liga Bolasepak Zon Tengah Sarawak, yang berakhir pada Sabtu.
 
Menurut Dr Annuar, yang juga penaung jawatankuasa penganjur liga tersebut, antara penambahbaikan yang telah dicadangkan adalah kemungkinan untuk memulakan liga tersebut lebih awal pada tahun depan, berbanding pada bulan Jun seperti pada tahun ini.
 
Liga anjuran Pusat Khidmat DUN Nangka itu kali ini disertai 14 pasukan yang kemudiannya dibahagikan kepada empat kumpulan.
 
“Yang pertama, kemungkinan akan bermula lebih awal pada tahun hadapan.
 
“Yang kedua, kita akan menambah lagi pasukan dalam setiap kumpulan, kemungkinan lima pasukan daripada setiap kumpulan untuk menjadikannya 20 pasukan,” katanya.
 
Dr Annuar menambah, pihaknya juga menerima cadangan untuk mengubah format perlawanan di tempat sendiri dan tempat lawan, yang bermula pada peringkat kumpulan sekarang, dengan memulakannya hanya pada peringkat suku akhir pada kejohanan seterusnya.
 
Beliau menjelaskan bahawa bermain di dua lokasi pada peringkat kumpulan dilihat memakan kos yang agak tinggi buat setiap pasukan.
 
“Kemungkinan kita perlu mengadakan kursus untuk pihak pengadil sebelum perlawanan seterusnya diadakan sebab mutu pengadilan amat penting bagi meningkatkan mutu pertandingan juga,” katanya.
 
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita ketika menyaksikan perlawanan akhir di antara Machan FC dan 7DFC di Pusat Sukan Komuniti Azman Hashim di Sibu Jaya.
 
Dr Annuar juga berharap pertandingan itu dapat meningkatkan kualiti permainan bola sepak di zon tengah Sarawak, dan zon-zon lain di Sarawak dapat menganjurkan liga yang sama untuk seterusnya mewujudkan sebuah liga bagi keseluruhan negeri Sarawak. – TVS

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.