Sukan lasak ‘motorcross’ menemui peminat di Sibu Jaya pada skala lebih besar

Spread the love

SIBU, 3 Sept : Acara ‘Sibu Jaya Extreme Motorcross Challenge’ kembali menemui peminat sukan lasak bermotor pada skala lebih besar, setelah 18 tahun tidak diadakan, sempena Karnival Sibu Jaya 2022 di sini.

Acara tersebut, yang berlangsung selama dua hari hingga esok (Ahad), telah menarik lebih 100 pelumba dari Kuching, Bintulu, Miri, Semenanjung Malaysia dan Brunei Darussalam.

Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS), Sempurai Petrus Ngelai, berkata penganjuran acara sukan lasak tersebut berjaya direalisasikan susulan perbincangan dengan Amcorp yang merupakan pemaju hartanah Sibu Jaya serta pihak berkuasa tempatan.

Sukan lasak motorcross menemui peminat di Sibu Jaya.

“Acara sukan lasak atau ekstrem ini telah lama tidak diadakan, namun perbincangan bersama pihak penganjur dan Amcorp untuk membawa balik acara sukan ‘motorcross’ ini telah membuahkan hasil, iaitu untuk mengadakan kejohanan ini pada skala yang lebih besar,” katanya pada majlis perasmian ‘Sibu Jaya Extreme Motorcross Challenge’.

Sempurai berharap penganjuran kejohanan sukan lasak bermotor tersebut dapat melahirkan dan menarik pelumba dari seluruh negeri.

“Selain itu juga, kita berharap ia akan menjadi platform untuk melahirkan pelumba-pelumba dari Sibu serta bahagian tengah negeri ini, yang mengimpikan trek yang lebih sesuai untuk berlumba,” katanya.

Sehubungan itu, Sempurai yakin penganjuran kejohanan itu dapat memberi impak yang positif kepada anak-anak muda yang ingin memahirkan diri dalam sukan ekstrem.

Menurutnya, trek ‘motorcross’ di Sibu Jaya merupakan antara yang terbaik di Sarawak.

“Saya berharap trek berkenaan akan dikekalkan agar lebih banyak kejohanan pada skala yang lebih besar mampu diadakan pada tahun depan,” tambahnya.

Acara tersebut merupakan anjuran bersama Kelab GP Sibu Jaya Extreme Motosports dengan kerjasama Amcorp dan MDLBS. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.