Sokong sektor pelancongan serantau, AirAsia Indonesia lancar laluan ke Danau Toba

Spread the love

DANAU TOBA, 3 Sept : AirAsia Indonesia memperkukuhkan sokongannya terhadap pengembangan rangkaian domestik dan pelancongan di Indonesia dengan melancarkan laluan Jakarta-Silangit semalam.

Penerbangan sulung itu juga menandakan permulaan hubungan yang kukuh antara AirAsia Indonesia, syarikat induknya Capital A serta pihak berkepentingan dalam kerajaan, sektor pelancongan dan industri utama untuk meningkatkan jumlah pelancong dan menjadikan Danau Toba sebagai tarikan pelancongan utama di peringkat global.

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes, berkata beliau amat berbangga kerana dapat menyertai penerbangan sulung ke Danau Toba, yang merupakan salah satu destinasi prioritas utama di Indonesia, selaras dengan komitmen AirAsia Indonesia kepada pembangunan ekonomi wilayah dan pemerkasaan komuniti.

“Indonesia adalah salah satu destinasi kami yang paling popular dan paling penting, dan oleh itu, kami sangat teruja kerana dapat memainkan peranan kami untuk mempromosikan dan menyokong destinasi yang luar biasa ini,” katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Silangit di sini semalam.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Indonesia, Veranita Yosephine Sinaga, berkata syarikat penerbangan itu komited untuk menyokong pembangunan destinasi pelancongan di Indonesia secara keseluruhannya.

“Bukan sahaja dengan menambah laluan, tetapi juga dengan mewujudkan perkongsian strategik untuk mempromosikan produk pelancongan dan ekonomi kreatif serta terlibat dalam usaha membangunkan pendidikan luar bandar dan memperkasakan masyarakat sekitar, khususnya di Danau Toba,” katanya.

Pihaknya turut menyampaikan keinginan untuk memacu pelancongan di Danau Toba pada masa hadapan, khususnya pada waktu pemulihan daripada pandemik COVID-19 saat ini.

AirAsia Indonesia mengadakan penerbangan sulungnya dari Jakarta ke Silangit pada 2 September 2022.

Penerbangan itu, yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno Hatta pada jam 11.50 pagi, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Silangit pada jam 1.50 tengah hari, disambut dengan ‘water salute’ dan juga adat tempatan atau ‘mangulosi’, iaitu adat menyarungkan ‘ulos’ (kain tenun tradisional). – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.