Sokong, bantu Keluarga Malaysia pulihkan ekonomi

Spread the love

KUCHING, 3 Sept : Sejajar dengan visi Keluarga Malaysia untuk mencapai status negara maju serta berpendapatan tinggi, setiap negeri di negara ini perlu menyokong dan membantu usaha pemulihan ekonomi, kata Pengarah Acara Perlis Nakawan Ultra 2022, Ku Hasrin Ku Abdul Rahman.

Menurutnya, ketika ini semua negeri sedang berusaha untuk mencapai status itu, lebih-lebih lagi ketika berada pada fasa pemulihan endemik.

“Dari segi fasa pemulihan ini, kita perlu sokong sebuah negara Keluarga Malaysia, baik di Borneo dan di Semenanjung, untuk bersama- sama mempromosi dan meningkatkan ekonomi di negeri masing-masing,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pelancaran Perlis Nakawan Ultra 2022, yang dirasmikan oleh Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, di sini hari ini.

Perasmian Acara Perlis Nakawan Ultra 2022 oleh Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Mengenai acara Perlis Nakawan Ultra 2022 pula, Ku Hasrin berkata ia merupakan acara larian marathon dengan tema ‘The Thrill of Northern Trails’ dengan sasaran awal sebanyak 1,000 peserta.

Larian tersebut antara lain adalah untuk membangunkan semula Perlis sebagai destinasi pelancongan sukan, merangsang ekonomi domestik, dan mempromosikan tempat-tempat menarik di Perlis, terutamanya di sekitar kawasan ekopelancongan berhampiran Sungai Batu Pahat, seperti Taman Rimba Herba, Taman Ular dan Reptilia, Taman Eko Rimba dan Kelab Golf Putra.

“Sebenarnya, Perlis Nakawan Ultra adalah larian denai, yang mana kita nak promosi banjaran batu kapur yang terpanjang di Malaysia dan seterusnya mempromosikan ekonomi pelancongan yang baharu di negeri Perlis, iaitu Pusat Ekopelancongan Sungai Batu Pahat.

“Larian ini terbahagi kepada tiga kategori, iaitu 10 kilometer (km), 25 km dan 50 km, dengan menawarkan hadiah berupa wang tunai, piala dan baucar,” jelasnya.

Katanya lagi, larian tersebut bakal diadakan pada 9 dan 10 Disember 2022, di mana peserta akan melalui Banjaran Nakawan sepanjang 38 km melalui Taman Negara Perlis.

Larian tersebut juga akan dimulakan seawal jam 3.00 pagi kerana peserta ataupun pelari akan menyelami pengalaman mencabar dengan anggaran masa larian selama 13 jam.

Setakat ini, jumlah pendaftaran sudah mencecah 300 penyertaan.

Untuk makluman, acara ini dianjurkan oleh MEP Ventures dan Kelab Pelari Denai Putra dengan sokongan Kerajaan Negeri Perlis dan Tourism Malaysia.

Mereka yang berminat boleh melayari laman www.nakawanultra.com.

Manakala itu, bagi peserta dari Borneo pula, yang merangkumi Sarawak, Sabah, Brunei, dan Kalimantan, mereka boleh menghubungi Smart Leisure & Travels Sdn Bhd di talian 016-8930309/017-9050309/082-422282 atau e-mel [email protected] – TVS

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.