Pemerkasaan STEM bantu pelajar kuasai kemahiran digital

Spread the love

MIRI, 3 Sept : Yayasan Yu Cai telah menganjurkan Program Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan Revolusi Industri 4.0 dalam membantu negara mencapai matlamat menggalakkan pelajar menguasai pendidikan STEM.

Ketua Pejabat Pendidikan Daerah Miri, Mariam Monek berkata program yang dianjurkan baru-baru ini juga bertujuan untuk membolehkan pelajar menguasai kemahiran digital ke dalam kurikulum secara sistematik.

“Selain itu, program ini juga dapat membantu dalam mencapai matlamat negara dalam menggalakkan pelajar menguasai pendidikan STEM.

“Saya melihat banyak faedah hasil perkongsian pintar ini seperti keupayaan untuk menyediakan peningkatan kemahiran, pengetahuan dan kepakaran, menyediakan bantuan dalam merapatkan jurang dalam pendidikan dan sudah tentu, membolehkan sumber dikongsi,” katanya.

Inisiatif seperti Sekolah Yayasan Yu Cai Program 4.0 STEM boleh membantu dalam mencapai matlamat negara iaitu nisbah 60 hingga 40 STEM kepada pelajar bukan STEM di sekolah menengah dan sasaran negeri sebanyak 40 peratus pelajar tingkatan empat yang mengambil STEM menjelang 2025.

“Inilah sebabnya kita berharap dapat melihat lebih banyak inisiatif seperti ini pada masa hadapan,” katanya.

Sebanyak 16 buah sekolah luar bandar dari Baram, Miri dan Subis telah menyertai program ini yang memberi manfaat kepada 1,200 pelajar.

Mariam yang mewakili Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Datu Dr. Azhar Ahmad turut menjelaskan bahawa kemahiran dalam bidang STEM turut dapat membangunkan teknologi digital serta kreativiti pelajar.

Beliau juga berharap para guru akan dilengkapi dengan kapasiti dan keupayaan untuk merancang dan melaksanakan pembelajaran teknologi di sekolah. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.