Dari Mukah ke Queensland, Malaysia dan Sarawak tetap di hati, kata Maradona

Spread the love

MUKAH, 3 Sept : Memasuki tahun ke-13 hidup merantau di Queensland, Australia, Maradona Martin mengakui perasaan cinta kepada Malaysia dan Sarawak tidak pernah pudar dalam dirinya.

Anak jati Mukah itu berkata, pepatah hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, ‘cocok’ untuk menggambarkan perasaannya terutama pada hari – hari penting’ di Malaysia.

“Saya akan memakai pakaian yang melambangkan Malaysia pada sambutan Hari Kebangsaan atau Hari Malaysia di tempat kerja.

“Memang tidak sama seperti berada di negara sendiri tetapi begitulah cara saya menghilangkan rindu kepada kampung halaman,” katanya.

Maradona yang kini bertugas sebagai Pegawai Perkhidmatan Operasi di sebuah hospital di bandar berkenaan berkata, pada hari istimewa itu jika berkesempatan, dia akan berkumpul dengan rakyat Malaysia yang menetap di sana.

“Warga Malaysia di Australia tidak kira di kawasan mana mereka tinggal di Australia akan membuat kemaskini di Facebook atau Instagram untuk menganjurkan perjumpaan sempena Hari Kebangsaan.

“Ini dapat mengeratkan hubungan silaturahim sesama kami,” katanya.

Kadang kala Martin berkata, dia juga menyertai acara yang diadakan di Kedutaan Malaysia di negara itu.

“Sambutan di kedutaan agak meriah termasuklah ada jamuan dan makanan Malaysia malah ada yang menyediakan kek Jalur Gemilang,”katanya.

Antara yang menarik katanya, mereka beramai – ramai melaungkan slogan ‘Merdeka’.

Bercerita tentang pengalamannya di negara kanggaru berkenaan, Martin yang berketurunan Melanau berkata, dia telah mencuba pelbagai kerja sebelum menyertai hospital itu.

“Saya turut mengajar kelas fotografi kepada masyarakat setempat selain pernah bekerja sebagai chef,” katanya.

Ditanya tentang peraturan di negara berkenaan, Martin yang berusia 40 tahun berkata, sebagai ‘orang luar’ dia sering beringat dan mematuhi undang – undang di negara berkenaan.

“Ini merupakan asas apabila kita hidup di negara luar namun pengalaman menyaksikan kehidupan, cara hidup dan budaya tempat asing merupakan sesuatu yang menarik,” katanya.

Sementara itu Martin berkata, ledakan teknologi digital sedikit sebanyak mengubat kerinduannya terhadap kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan di Malaysia.

“Selalunya bila tiba hari berkenaan, saya sering terbayang pelbagai acara meriah di Kuala Lumpur dan Sarawak.

“Namun kini menerusi pelbagai media sosial, saya dapat saksikan kemeriahan itu,” katanya.

Mengakhiri perbualan, Martin berkata, dia berharap agar anak muda di Malaysia berani mencabar diri untuk melakukan perubahan.

“Kita tidak boleh lagi berfikiran seperti katak bawah tempurung,” katanya yang turut menzahirkan penghargaan kepada perjuangan pemimpin terdahulu yang bermati – matian ke arah pembentukan negara berdaulat Malaysia. -TVS

 


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.