69 bot pam disita di ESSzone

Spread the love

LAHAD DATU, 3 Sept : Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) komited membanteras penggunaan bot pam haram yang masih dikesan di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSzone).

Komander ESSCOM, Deputi Komisioner Polis (DCP) Hamzah Ahmad berkata, pihaknya telah melakukan Operasi Gasak Laut di ESSzone yang disertai 375 pegawai dan anggota pelbagai agensi bagi membendung penyalahgunaan bot pam.

Menurutnya, berdasarkan rekod, bot pam sering digunakan penjenayah rentas sempadan melakukan aktiviti penculikan, rompakan, penyeludupan dan pengeboman ikan di perairan ESSZone.

“Dalam operasi ini sebanyak 88 buah bot pam milik warga tempatan dan asing telah diperiksa.

“Sebanyak 69 bot disita kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Enakmen Pelabuhan dan Dermaga 2002,” katanya menerusi kenyataan.

Hamzah berkata, dalam operasi itu juga seramai 55 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia dan Filipina ditahan kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

Kesemua mereka ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/63.

Katanya, ESSCOM akan terus melakukan operasi dan menyeru masyarakat berkongsi maklumat berkaitan keselamatan di ESSzone ke Pusat Operasi ESSCOM di talian 089- 863 181 atau melalui aplikasi Whatsapp di talian 011-63311072. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.