103 anggota empat sindiket curi kenderaan diberkas di Kuching

Spread the love

KUCHING, 3 Sept : Polis berjaya memberkas seramai 103 individu yang disyaki terlibat dengan kegiatan mencuri kenderaan di sekitar bandar raya ini.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner (ACP) Ahsmon Bajah berkata, kesemua mereka ditahan menerusi Op Bersepadu Lejang Khas yang dilancarkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berkenaan.

Katanya, kesemua suspek dipercayai ahli empat sindiket iaitu Geng Wan Kurus, Geng Oscar, Geng Jalil dan Geng Kancil.

“Tangkapan ini menyaksikan polis berjaya melumpuhkan kegiatan jenayah yang dilakukan oleh kumpulan – kumpulan ini,” katanya menerusi kenyataan media semalam.

Kata Ahsmon, bagi  tempoh 1 hingga 31 Ogos, seramai 26 orang telah ditangkap atau purata seorang penjenayah ditangkap dalam tempoh sehari.

“Sebanyak 35 rampasan kenderaan dilakukan yang dianggarkan RM129,800,” katanya.

Menurutnya, operasi berkenaan melibatkan tiga fasa dengan penglibatan 15 pegawai kanan dan 195 anggota.

“Sehingga 31 Ogos juga, pihak polis berjaya menyelesaikan 52 kes dan seramai 23 orang telah didakwa di mahkamah,”katanya.

Menurutnya, statistik semasa kes kecurian kenderaan di Kuching sejak Januari hingga 31 Ogos tahun ini meningkat sebanyak 67.79 peratus atau 80 kes jika dibanding pada 2021.

Katanya lagi, anggaran kerugian akibat kencurian ini adalah lebih kurang RM1.06 juta. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.