Tiga pelajar perempuan ponteng sekolah dibawa ke balai polis

Spread the love

BALIK PULAU, 2 Sept : Empat pelajar sekolah menengah termasuk tiga perempuan dibawa ke balai polis selepas didapati ponteng sambil melepak di Lorong Kenari 9, Sungai Ara, Bayan Lepas di sini hari ini.

Pelajar tingkatan tiga hingga lima terbabit didapati berkumpul di tepi jalan oleh anggota polis yang melakukan tugasan Ronda Cegah Jenayah kira-kira pukul 10 pagi.

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya dalam satu kenyataan berkata, mereka didapati berkumpul ketika waktu persekolahan bersama seorang lelaki orang awam berusia 18 tahun.

“Kesemua mereka kemudiannya dibawa ke Balai Polis Bayan Baru dan hasil temu bual mendapati pelajar lelaki tingkatan lima serta tiga pelajar perempuan tingkatan tiga dan empat terbabit mengaku telah ponteng sekolah sejak awal pagi.

“Seorang lelaki berusia 18 tahun pula merupakan kawan kepada pelajar lelaki terbabit,” kata kenyataan itu hari ini.

Kenyataan itu menambah, Ketua Polis Balai Bayan Baru selaku Pegawai Pemantau Sekolah (PPS) telah maklumkan perkara berkenaan kepada pengetua.

“Ia untuk mengarahkan ibu bapa kepada pelajar terlibat supaya hadir ke balai polis untuk membawa anak masing-masing pulang.

“Pihak polis menasihati ibu bapa agar lebih kerap memantau aktiviti anak-anak untuk mengelakkan daripada terjebak dengan aktiviti yang boleh merosakkan masa depan mereka,” kata kenyataan itu lagi. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.