Terokai pakej pelancongan ke Sarawak di Matta Fair Kuala Lumpur

Spread the love

KUCHING, 2 Sept : Sarawak bersedia untuk menarik pelancong dari Semenanjung Malaysia menerusi konsep gerai yang memaparkan seni mural jalanan terkenal yang menggabungkan unsur budaya, warisan, masyarakat dan alam semula jadi.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Bahagian Komunikasi Pemasaran Bersepadu, Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) Suriya Charles Buas berkata, kesemua tarikan unik itu akan dipamerkan di Karnival Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) di Kuala Lumpur yang berlangsung pada 2 hingga 4 ​​September ini.

Katanya, antara lukisan mural yang dipamerkan ialah ‘Symphony of The Tinsmith’ yang dihasilkan oleh artis mural terkenal Sarawak, Leonard Siaw.

“Lukisan ini menggambarkan salah satu disiplin tertua Kuching iaitu tinsmith semasa penempatan awal orang Cina di Lebuh Carpenter.

“Selain itu terdapat juga ‘Eight Orang Utans Mural’ oleh artis jalanan Lithuania, Ernest Zacharevic yang memaparkan lapan ekor utan muda dalam kereta sorong,”katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Beliau memberitahu, pengunjung yang ingin mengetahui latar belakang Sibu pula, mereka juga boleh mengunjungi gerai di karnival berkenaan yang  mempamerkan mural terkenal iaitu Sibu delicacies yang mempunyai ilustrasi Gong Pia dan Mee Kampua  di lorong belakang Jalan Market.

Katanya terdapat juga mural “Ayam dan Itik Bungkus” di Pasar Besar Sibu yang menampilkan teknik jualan unik iaitu membungkus ayam atau itik yang masih hidup dalam surat khabar.

Mural kreatif itu dilukis oleh Lau Sei Kwong dan Lilian Tang Siu Hui.

“Di Sarawak, seni jalanan merupakan trend yang semakin berkembang yang menceritakan kisah menarik tentang rakyat, budaya, sejarah dan cerita yang menjadikan mereka unik,” katanya.

Sementara itu beliau memberitahu, Sarawak mencatatkan ketibaan seramai 703,891 pelawat bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini.

“Pelancongan Sarawak berada di landasan yang betul untuk pemulihan.

“Berdasarkan semangat pelancongan domestik, Sarawak menjemput rakan-rakan di Malaysia Barat untuk datang dan merasai sendiri persembahan indah Sarawak yang hanya terletak di seberang Laut China Selatan sahaja,” katanya.

Selain itu, pada pameran berkenaan, orang ramai yang berkunjung Gerai Sarawak juga berpeluang untuk menikmati muzik asli Sarawak dengan persembahan secara langsung oleh pemuzik dan vokalis sape legenda, Sarawak, Jerry Kamit.

Pengunjung juga berpeluang untuk menyertai sesi soal jawab untuk memenangi cenderahati edisi terhad Sarawak seperti beg hadiah Lada Sarawak, pelapik cawan Sarawak dan sabun organik Borneo.

Pengunjung dialu-alukan untuk hadir dan menerokai pakej Sarawak yang ditawarkan di MATTA Fair di gerai nombor 4046-4051 dan 4070-4075 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Untuk maklumat lanjut mengenai Sarawak, boleh layari www.sarawaktravel.com. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.