Kelab Wushu Sarikei mahu kekal prestasi cemerlang

Spread the love

SARIKEI, 2 September : Pernah melahirkan atlit emas dan atlit wushu yang bertaraf antarabangsa, Kelab Wushu Jelutong Sarikei yakin mampu untuk terus mengekalkan prestasi cemerlang kelab itu.

Presiden kelab, Lyde Lait, berkata, mereka sudah bersedia dan akan bekerja keras memastikan misi mendapatkan kemenangan sekali gus menjulang nama Sarikei dalam mana-mana kejohanan yang disertai.

“Pencapaian terbaik atlet wushu Sarikei sebelum ini sangat bagus dan banyak menyertai kejohanan antarabangsa seperti di Wuwang Cup di Kuching dan Borneo Cup di Sibu.

“Pingat emas yang disumbangkan kebanyakannya datang dari Sarikei,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada kejohanan wushu liga sekolah menengah dan rendah mengikut umur peringkat Bahagian Sarikei.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing.

Lyde berkata tahun 2022 membawa sinar baharu kelab itu kerana bukan sahaja mereka berpeluang untuk mengadakan latihan secara lebih intensif tetapi kini telah dapat menganjur kembali kejohanan berkenaan selepas tempoh pandemik yang melanda seluruh dunia.

Lebih menggembirakan katanya, kelab turut mendapat sokongan padu pelbagai pihak termasuk wakil rakyat dan agensi yang berkaitan.

“Tahun 2022 ini ibarat permulaan bagi kita dimana sebelum ini kita mengajar secara dalam talian yang amat sukar untuk mencapai prestasi yang bagus tetapi setelah aktiviti kokurikulum boleh dijalankan semula, saya yakin ini adalah permulaannya,” tambahnya lagi.

Kelab Wushu Jelutong Sarikei ditubuhkan pada tahun 2013 dan kini mempunyai lebih 300 ahli yang sebahagian besarnya terdiri daripada pelajar sekolah rendah dan menengah di Bahagian Sarikei. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.