IPD Dalat serah sumbangan kepada mangsa kebakaran Rumah Panjang Jungan Tamin

Spread the love

TAMIN, 2 Sept : Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dalat tampil menghulurkan bantuan kepada mangsa kebakaran Rumah Panjang Jungan Tamin.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan (DSP) Saga Chunggat berkata, sumbangan berupa barangan makanan, pakaian dan peralatan elektrik itu diserahkan di Gereja Maria Indai Ukaristia yang menjadi tempat penempatan sementara kesemua mangsa terlibat.

Katanya, IPD itu bekerjasama dengan Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) di situ bagi meringankan beban yang ditanggung mangsa.

“Pada masa sama, saya turut mewakili Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd. Azman Ahmad Sapri menghulurkan sumbangan dan turut menyatakan rasa simpati Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak kepada mangsa,”katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan bantuan berkenaan.

Yang turut hadir, Penghulu Andrewson Ngalai dan Ketua-ketua masyarakat sekitar.

Saga berkata, sumbangan yang dihulurkan itu juga merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial polis terhadap masyarakat yang memerlukan.

Pada 23 Ogos lalu, sebanyak 32 pintu Rumah Panjang Jungan Tamin musnah dalam kebakaran itu serta menyebabkan 172 orang penduduk hilang tempat berteduh. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.