26 suspek curi kenderaan di Kuching diberkas

Spread the love

KOTA SAMARAHAN, 2 Sept : Operasi khas dilancarkan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching berjaya memberkas seramai 26 suspek yang disyaki terlibat dalam kes curi pelbagai jenis kenderaan.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner (ACP) Ahsmon Bajah berkata, operasi selama dua minggu yang berakhir pada 22 Ogos lepas turut berjaya merampas 23 buah kenderaan pelbagai jenis yang disyaki telah dicuri.

Katanya, polis IPD berkenaan menubuhkan lima pasukan khas iaitu Counter Aggressive Team untuk memburu suspek – suspek yang dipercayai terlibat dengan jenayah curi kereta dan motosikal di Kuching sejak setahun lepas.

“Kesemua kenderaan yang dicuri telah diubahsuai nombor chasis dan diguna semula oleh suspek,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas meninjau sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Kuching-Samarahan Expressway di sini pagi tadi.

Menurut Ahsmon,kumpulan berkenaan didapati aktif pada waktu pagi dan sebelah malam dengan menyasarkan kenderaan yang diletakkan di kawasan kediaman dan tempat awam.

“Sasaran mereka ialah kereta jenama Toyota, Wira dan Kancil manakala bagi motorsikal pula adalah Yamaha Y15 dan Honda Wave,” katanya.

Sementara itu,beliau memberitahu polis juga percaya terdapat sindiket mencuri kenderaan membabitkan warga asing dan tempatan yang aktif berdasarkan empat tangkapan berbeza pada tahun lalu.

“Dalam tempoh setahun, berlaku peningkatan kes kecurian sebanyak 80 kes.

“Hasil pemerhatian polis bagi tempoh 14 hari lalu, untuk setiap satu tangkapan yang dibuat akan berlaku kes pada hari sama,” katanya.

Sehubungan itu, Ahsmon turut menasihatkan pemilik kenderaan agar meningkatkan aspek keselamatan terhadap kenderaan masing- masing termasuk memasang kunci tambahan.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, IPD Kuching akan meneruskan Ops Lejang Bersepadu dengan mengadakan sekatan jalanraya (SJR) di beberapa kawasan sekitar Kuching dan Tabuan. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.