TLDM optimis kerajaan laksana LMS 2 tahun ini

Spread the love

SANDAKAN, 1 Sept: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) optimis kerajaan akan melaksanakan projek perolehan kumpulan kedua kapal-kapal Littoral Mission Ship (LMS) pada tahun ini juga.

Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Datuk Sabri Zali berkata, pelaksanaan projek itu amat penting bagi memastikan kesiapsiagaan operasi TLDM memandangkan ada diantara aset milik mereka yang sudah berusia melebihi 40 tahun.

Katanya, ketika ini pihaknya mengambil inisiatif melaksanakan Program Repowering dan Program Obsolation Management bagi menangani isu aset yang usang.

“Oleh itu, kami harapkan perolehan kumpulan kedua LMS akan dilaksanakan tahun ini sekurang-kurangnya daftar projek ini dalam Rancangan Malaysia sekarang.

“Bila ia dilaksanakan sepenuhnya, kita tunggu dan lihat. Saya percaya kerajaan dan Kementerian Pertahanan telah janji akan melakukan yang terbaik bagi membolehkan projek ini dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penutupan Eksesais OSTEX EAST Siri 2/2022 di Sandakan.

Dilaksanakan bermula 23 Ogos hingga 1 September, eksesais itu menjadi platform utama bagi menguji kecekapan warga TLDM dan kesiagaan aset-aset di Armada Timur.

Sebanyak 11 buah kapal TLDM telah terlibat iaitu KD Selangor, KD Perak, KD Kelantan, KD Sundang, KD Badik, KD Rencong, KD Ganas, KD Baung, KD Todak dan KD Jerong selain sebuah helikopter.

Antara siri latihan utama diadakan merangkumi siri peperangan permukaan, manuvra taktis, penembakan sasaran permukaan statik, latihan menggeledah, latihan menunda, pemindahan tali ringan dan pendaratan helikopter di kapal. -TVS

Tags: kerajaan, tldm

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.