Rosmah menangis, dakwa beliau tidak bersalah

Spread the love

KUALA LUMPUR, 1 Sept: Suasana suram menyelubungi Mahkamah Tinggi di sini hari ini apabila Datin Seri Rosmah Mansor menangis ketika memaklumkan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bahawa beliau tidak bersalah kerana tidak pernah terfikir untuk menggelapkan wang negara.

Rosmah, 70, yang kelihatan begitu emosional ketika memberikan kenyataan dari kandang tertuduh, berkata beliau adalah mangsa dalam kes ini kerana tidak pernah meminta rasuah.

“Saya harap Yang Arif akan menimbang fakta bahawa saya adalah seorang wanita yang terpaksa mengambil alih peranan seorang lelaki di rumah saya. Yang Arif, pandanglah saya sebagai seorang wanita dengan sedikit belas kasihan dan perikemanusiaan.

Baca artikel berkaitan:

  1. 1.Keputusan kes rasuah Rosmah ‘bersalah atau dibebaskan’ diketahui esok
  2. 2. Keputusan perbicaraan kes Rosmah dijangka diketahui hari ini
  3. 3. Rosmah tiba di Mahkamah dengar keputusan kes rasuah projek solar
  4. 4. Rosmah dibawa masuk ke mahkamah menerusi pintu B
  5. 5. Rosmah didapati bersalah atas tiga pertuduhan rasuah
  6. 6. Bersalah kes rasuah projek solar: Rosmah dipenjara 30 tahun, denda RM970 juta

“Saya tidak pernah menyentuh wang itu meskipun ketika berada dalam BAKTI (Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri). Saya tidak kenal (bekas Pengarah Urusan) Jepak Holdings (Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin)… Saya tidak pernah minta wang itu. Tiada siapa nampak saya mengira wang itu.

“Bagaimanapun, saya hormati keputusan Yang Arif tetapi saya ingin meninggalkan mahkamah ini dengan kenangan yang baik-baik. Saya telah membentuk sebuah mahkamah khas untuk kanak-kanak (bagi kesalahan seksual).

“Tiada sesiapa pun (sebelum ini) yang memikirkan tentang nasib penagih dadah dan duduk berbincang dengan pihak kerajaan serta sektor swasta serta mengguna pakai idea Unicef untuk bermula dengan kanak-kanak dari bawah,” katanya ketika merayu hukuman ringan.

Isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu berkata beliau sentiasa bercakap benar.

“Saya sentiasa bercakap benar. Ini yang saya percaya dan yang saya perturunkan kepada anak-anak program Permata. Yang Arif, saya mahu mereka mempunyai akhlak yang baik dan itulah sebabnya mengapa kerajaan mewujudkan Permata, Permata Kurnia dan menangani isu yang dihadapi oleh golongan belia termasuk mereka yang tinggal di pangsapuri kos rendah.

“Saya gembira dapat menyumbang kepada negara … saya ingin membawa kanak-kanak di negara ini ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

Rosmah juga berkata beliau adalah Pengerusi Persatuan Badminton Malaysia dan tidak pernah terfikir untuk mengambil wangnya.

“Saya tidak pernah mempengaruhi suami saya,” katanya.

Pada satu peringkat, Rosmah dengan linangan air mata berkata seluruh keluarganya sengsara dengan apa yang menimpa mereka.

“Saya adalah seorang mangsa. Ia mungkin berlaku kepada anak-anak kamu,” katanya sambil menambah beliau menyerahkan segalanya kepada Allah.

Sementara itu, peguam Datuk Jagjit Singh merayu agar hukuman Rosmah diringankan dan meminta beliau dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda minimum.

Beliau berkata Rosmah mempunyai perwatakan yang baik dan telah berbakti kepada negara sebagai isteri Perdana Menteri terutama dalam membantu anak-anak kecil yang tidak mendapat pendidikan.

Katanya cetusan idea Rosmah iaitu program Permata telah membantu kanak-kanak yang kurang bernasib baik dan ia sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana isteri Perdana Menteri di negara ini.

“Beliau juga mempunyai masalah kesihatan. Ini kesalahan pertama beliau,” katanya.

Peguam itu berkata individu lain yang terlibat dalam projek itu semuanya bebas dan hanya anak guamnya yang didakwa.

“Begitupun, beliau masih memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa,” kata Jagjit.

Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram pula meminta mahkamah mengambil kira keseriusan kesalahan yang dilakukan.

Bekas hakim Mahkamah Persekutuan itu berkata setiap pertuduhan membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan.

Beliau berkata ini bagi menghantar mesej kepada mana-mana pesalah pada masa akan datang bahawa rasuah adalah perkara memudaratkan masyarakat yang harus dihapuskan.

“Saya tidak bersetuju dengan hukuman penjara sehari. Tujuan hukuman ialah untuk menghentikan kesalahan ini kerana rasuah merupakan perbuatan paling keji di negara ini. Ia adalah satu perkara yang menyakitkan untuk menjatuhkan hukuman dan amat pedih bagi badan kehakiman untuk mengenakan hukuman penjara,” katanya.

Sri Ram turut memohon agar mahkamah mengenakan hukuman denda berjumlah RM970 juta ke atas tertuduh.

Beliau turut memaklumkan mahkamah bahawa sekiranya Rosmah gagal membayar denda, beliau berdepan hukuman penjara tambahan selama 30 tahun.

“Yang Arif, jika hukuman penjara sehari dikenakan, ia akan menghantar mesej yang salah kepada masyarakat. Justeru, hukuman maksimum atau hampir maksimum perlu dijatuhkan… rasuah adalah kesalahan yang amat serius,” katanya.

Selepas mendengar hujah itu, Rosmah berkata: “Lebih baik bunuh saja saya.”

Sri Ram juga berkata hukuman denda boleh ditangguhkan sehingga rayuan selesai.

Pada peringkat ini, Jagjit berkata pembelaan memohon penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan dan tertakluk kepada syarat jaminan yang dikenakan.

Sri Ram tidak membantah permohonan itu.

Mahkamah kemudian membenarkan permohonan itu dan mengekalkan jumlah jaminan sebanyak RM2 juta yang dikenakan ke atas Rosmah. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.