Polis Meradong tahan dua lelaki disyaki terlibat dadah

Spread the love

BINTANGOR, 1 Sept : Polis menahan dua lelaki kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah dalam satu operasi besar-besaran selama lima jam di seluruh daerah ini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Meradong, Deputi Superitendan Polis (DSP) Sekam Anoi berkata, operasi bersepadu yang bermula pukul 8.30 malam hingga 1.30 pagi itu dilakukan melalui rondaan cegah jenayah dan sekatan jalan raya dan turut disertai oleh lain-lain bahagian seperti Cawangan Khas, Trafik, Narkotik dan latihan.

“Kedua-dua suspek berusia 37 dan 41 tahun yang berasal dari Saratok itu ditahan selepas polis menjumpai satu paket plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis Syabu seberat 45 gram di bawah kerusi penumpang hadapan kereta jenis Proton Preve yang dinaiki mereka,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau berkata, polis turut melakukan pemeriksaan ke atas tubuh badan kedua suspek tersebut namun tidak menjumpai apa-apa barang larangan.

Ujarnya, siasatan lanjut kini sedang dijalankan untuk mengetahui punca dadah yang dijumpai.

“Dua lelaki ini ditahan di bawah Sek 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan 39A(2) ADB 1952,” jelasnya.

Beliau menegaskan polis Meradong tidak akan berkompromi terhadap sebarang kegiatan jenayah.

Beliau memberi jaminan bahawa pemantauan dan rondaan akan terus dilakukan bagi memastikan daerah Meradong kekal aman dan bebas daripada sebarang anasir yang boleh menganggu ketenteraman awam. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.