Lelaki menyamar sebagai pegawai JPJ dipenjara 14 bulan

Spread the love

SIBU, 1 Sept: Seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan dijatuhi hukuman penjara 14 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah terhadap satu pertuduhan menipu seorang wanita sebanyak RM600.

Tertuduh, Imran Othman Pawi, 59, mengaku bersalah mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun serta sebatan atau denda.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh telah memperdaya seorang wanita berusia 50 tahun, Lanja Amping di sebuah hotel bajet di Jalan Sentral pada 23 Ogos lalu.

Tertuduh yang menyamar sebagai pegawai JPJ telah menyakinkan mangsa bahawa dia boleh membantunya untuk mendapatkan lesen memandu.

Mangsa kemudiannya membayar tertuduh RM600 untuk urusan itu.

Majistret Syukri Mohktar memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 25 Ogos.

Untuk rekod, tertuduh pernah dihukum penjara 34 bulan oleh Mahkamah Majistret Miri atas pertuduhan yang sama pada 24 Mei 2019. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.