Kerajaan Sarawak akan terus pacu agenda pembangunan modal insan

Spread the love

SARIKEI, 1 Sept : Kerajaan Sarawak akan terus membangunkan modal insan terutamanya golongan muda dalam agenda memacu pembangunan seimbang negeri ini pada masa depan.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah Dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh berkata, selain memberi tumpuan terhadap pertumbuhan ekonomi, pembangunan modal insan juga menjadi aspek terpenting.

“Jika kita lihat dari segi penjenamaan Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, pembangunan bakat ini sangat luas seperti bakat menyanyi, menari, bersukan dan sebagainya”, katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang itu turut menegaskan, pendekatan tersebut merupakan antara usaha kerajaan untuk memperkasakan bakat anak muda dalam segenap aspek bagi pertumbuhan yang lebih mampan.

Malah kata beliau, kerajaan sentiasa berusaha memastikan Sarawak terus bergerak maju ke hadapan seiring perubahan sekali gus menjamin kesejahteraan yang berterusan dalam tempoh jangka panjang.

“Saya secara peribadi juga akan menyokong sedaya upaya dalam mana-mana aspek, bukan sahaja dalam bidang akademik tetapi dalam bidang-bidang yang lain juga untuk memastikan anak-anak kita ini diberikan pendedahan yang terbaik,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Bendera Sarawak kepada Pasukan Majlis Sukan Sekolah 12 tahun ke bawah Sarawak, di Sri Nyelong di sini hari ini. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.