Unity Fun Ride, semarak semangat perpaduan di Hari Kebangsaan

Spread the love

KUCHING, 31 Ogos: Semangat cintakan negara dan perpaduan dapat disemai dan dirai melaluli aktiviti riadah bersama komuniti terutama dalam menyambut Hari Kebangsaan.

Sambutan Hari Kebangsaan di Betong dimeriahkan dengan penganjuran Unity Fun Ride.

Menurut Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Gerald Rentap Jabu, aktiviti kayuhan basikal tersebut bukan sahaja disertai oleh masyarakat Betong malah dari kawasan lain di Sarawak.

“Ini merupakan satu riadah yang juga berupaya menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan pada hari ini,” katanya.

Unity Fun Ride, semarak semangat perpaduan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di acara berbasikal, Unity Fun Ride yang dianjurkan sempena Hari Kebangsaan peringkat negeri Sarawak 2022, di sini hari ini.

Sementara itu kira-kira lebih 700 peserta telah mendaftarkan diri bagi menyertai acara tersebut.

Antaranya ialah Ketua Kampung Kampung Masjid, Abg Bindahlan Abg Sulaiman, 66, yang menyuarakan rasa terujanya menyertai acara berbasikal itu.

“Saya menyertai acara berbasikal ini bagi menzahirkan semangat cintakan negara ini sempena Hari Kebangsaan.

“Saya membeli basikal ini khas untuk menyertai acara ini,” katanya.

Berkongsi perasaan sama, Akma Iddin Masini, 28, menyifatkan acara tersebut mampu meningkatkan lagi semangat perpaduan.

“Acara berbasikal ini merupakan platform yang sesuai untuk meningkatkan lagi perpaduan, bukan sahaja dalam kalangan komuniti Betong, tetapi juga dengan pengunjung luar.

“Pagi ini kami melihat muka-muka baharu, jadi inilah masa kami mengenali antara satu sama lain,” katanya.

Peserta acara mengayuh basikal mengelilingi Betong sepanjang 5.8 kilometer dari Kompleks Sukan Betong hingga ke Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, Betong. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.