Sarawak kerjasama dengan Jepun dan Korea Selatan dalam sektor hidrogen – Abang Johari

Spread the love

BETONG, 31 Ogos : Kerajaan Sarawak terus mengorak langkah dengan menjalinkan kerjasama dengan pelabur dari Korea Selatan dan Jepun untuk membangunkan ekonomi hidrogen.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memaklumkan, beliau akan ke Korea Selatan pada hujung minggu ini untuk tujuan berkenaan.

Katanya, ini disusuli lawatan ke Jepun pada Oktober bagi memenuhi undangan negara itu yang ingin berkongsi pandangan dengan Sarawak mengenai hidrogen sebagai sumber bahan bakar baharu.

Hidrogen Sarawak perhebat kerjasama dengan negara luar.

“Langkah ini ke arah transisi tenaga daripada bahan bakar karbon kepada bahan bakar tanpa karbon sebagai mendokong usaha dunia mengatasi perubahan iklim dunia,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak 2022 di sini, hari ini.

Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib merupakan tetamu kehormat pada majlis berkenaan.

Sementara itu, Abang Johari berkata, Sarawak melalui Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) Energy juga akan menjalinkan kerjasama penyelidikan dan pembangunan dengan Petronas untuk menghasilkan bahan bakar lestari berasaskan alga atau lumut.

Menurut Abang Johari industri penerbangan menghasilkan banyak gas rumah hijau yang menjadi antara punca utama pemanasan suhu dunia.

“Kapal terbang tidak boleh mengunakan hidrogen sebagai bahan bakar tetapi bio-fuel boleh menjadi bahan bakar alternatif yang amat sesuai untuk menguasakan enjin kapal terbang,” katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.