Sarawak bangga tubuhkan Malaysia namun hak kami perlu dihormati – Abang Johari

Spread the love

BETONG, 31 Ogos : Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ketegasan Sarawak menuntut supaya hak dan keistimewaannya dihormati oleh Kerajaan Persekutuan bukanlah bermaksud rakyat Sarawak tidak mempunyai semangat patriotisme yang tinggi.

Premier Sarawak itu berkata, ini kerana selepas 59 tahun penubuhan Malaysia, semua rakyat Malaysia perlu memahami konsep Persekutuan dan mempunyai semangat kebangsaan yang tinggi.

Kata beliau, perlu juga supaya keistimewaan atau hak Sarawak tidak dipersoalkan tetapi langkah-langkah harus diambil untuk menghormati apa yang telah dipersetujui oleh para pemimpin terdahulu.

Hak Sarawak perlu dihormati.

“Rakyat Sarawak menuntut supaya hak dan keistimewaan negeri diiktiraf oleh Kerajaan Persekutuan tetapi ini tidak bermakna kita tidak mempunyai semangat kenegaraan yang tinggi.

“Anak Sarawak dalam arena sukan seperti Dato Pandelela Rinong dan Gustin Bonnie Bunyau berjuang bermatian-matian agar lagu kebangsaan kita, Negaraku boleh berkumandang di arena antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak 2022 di Betong di sini hari ini.

Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib merupakan tetamu kehormat pada majlis berkenaan.

Menghuraikan tentang perasaan bangga Sarawak terhadap pencapaian sukan negara, Abang Johari berkata, orang Sarawak juga meraikan apabila pemain badminton beregu negara Aaron Chia dan Soh Wooi Yik memenangi kejohanan dunia di Tokyo tiga hari yang lepas.

Sementara itu, Abang Johari berkata,  Sarawak sentiasa terbuka untuk menjalin kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan demi manfaat negeri dan Malaysia malah baru – baru ini telah menerima kunjungan daripada beberapa menteri Persekutuan untuk tujuan itu.

“Namun, jika ada pertikaian mengenai kuasa dan hak negeri atau Persekutuan, mahkamah harus menjadi penentu kebenarannya.

“Justeru, apabila Sarawak menuntut cukai  ke atas produk petroleum dari Sarawak, penyelesaiannya telah ditentukan oleh mahkamah yang memutuskan Sarawak berhak mengenakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ,”kata beliau.

Beliau berkata, sejak 2019, Sarawak meraih sebanyak RM 8 billion SST dan ia dijangka meningkat ekoran kenaikan harga minyak mentah.

Sementara itu, Abang Johari berkata, tanpa kerjasama yang erat antara negeri dan Kerajaan Persekutuan seperti berlaku pada tempoh 22 bulan ketika di bawah pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan, rakyat yang menanggung kerugian. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.