Road To Oscars, usaha karya Malaysia tembusi anugerah filem berprestij dunia

Spread the love

KUCHING, 31 Ogos : Program Road To Oscars dilancarkan kerajaan melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bertujuan untuk menyokong pembikin filem tempatan menghasilkan karya bermutu tinggi yang layak dipertandingkan di festival filem antarabangsa termasuklah Anugerah Akademi (Oscar).

Ini antara perkembangan terbaharu industri perfileman Malaysia dalam perjalanan ke persada antarabangsa.

Berikut merupakan beberapa filem tempatan yang dilihat berpotensi untuk menggegar pasaran luar negara.

The Lord Musang King

Filem usaha sama Malaysia dengan Korea Selatan ini mengisahkan Haikal, anak pekebun durian yang berjaya namun diperdaya dan seterusnya dipenjarakan.

Demi menyelamatkan Haikal, bapanya, Samad membuat perjanjian dengan syarikat perdagangan antarabangsa untuk membebaskan anaknya.

Namun, Samad dibunuh oleh ‘taikun’ Korea Selatan ketika cuba membebaskan anaknya.

Selepas menyedari kejadian sebenar, Haikal tampil menuntut bela atas kematian bapanya.

The Lord Musang King diterbitkan oleh Hundred Years Popcorn Production Sdn. Bhd. 

Filem ini menampilkan barisan pelakon Malaysia dan Korea Selatan antaranya Yusof Bahrin, Fimie Don, Jay Iswazir, Harissa Adlynn Halim dan ramai lagi.

Filem genre aksi ini diterbit oleh penerbit eksekutif, Ong Peng Chu, penerbit bersekutu, Datuk Seri Zaienal Abidin Omar dan penerbit Eddie Chow dan diarahkan oleh pengarah Korea Selatan, Lee Moon Ho.

Filem ini melibatkan kos produksi RM2.5 juta dan 95 peratus krew dan pelakon terdiri daripada bakat tempatan.

Ia dijangka ditayangkan di pawagam pada pertengahan 2023.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, dengan memperkenalkan campuran budaya Malaysia dan Korea kepada dunia melalui filem ‘The Lord Musang King’, beliau percaya ia akan mencetuskan minat terhadap kandungan dan budaya tempatan di peringkat antarabangsa dan sekali gus mewujudkan permintaan global untuk kandungan Malaysia.

Beliau juga menyatakan komitmen Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) melalui FINAS untuk terus menyokong industri kandungan kreatif dan menjadikan Malaysia sebagai hab destinasi bagi penggambaran dan penerbitan filem.

Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan

 

 

Filem biografi epik sejarah ini diinspirasikan daripada kisah sejarah perjuangan pahlawan Melayu, Mat Kilau sekitar tahun 1890-an mengenai kisah perjuangan Mat Kilau bersama bapanya, Tok Gajah yang menentang pentadbiran British di Pahang.

Watak utama itu dilakonkan oleh pelakon Datuk Adi Putra dan juga disokong oleh barisan bintang seperti Beto Kusyairy, Fattah Amin, Joan As’ari, Wan Hanafi Su, Khir Rahman dan pelakon aksi Indonesia, Yayan Ruhian.

Filem arahan pengarah prolifik, Syamsul Yusof ini adalah produksi Studio Kembara yang dihasilkan dengan kerjasama Skop Productions.

Pada Julai lalu, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, filem itu bakal dipasarkan ke peringkat antarabangsa melalui projek Road to Oscars. 

Filem ini telah mencatatkan sejarah tersendiri apabila menjadi produk tempatan pertama yang mencatatkan kutipan hampir RM100 juta selepas ditayangkan di Malaysia, Singapura dan Brunei.

Ketika ini Mat Kilau – Kebangkitan Pahlawan sedang ditayangkan di 200 buah pawangan di Indonesia.

Prebet Sapu

Filem bajet rendah ini dipilih untuk mewakili Malaysia bagi kategori Filem Cereka Antarabangsa Terbaik pada Anugerah Akademi ke-94 atau Oscars pada Mac lalu.

Dibikin pada kos RM500 000 dengan beberapa pelakon nama besar sanggup dibayar ‘token’, filem Prebet Sapu arahan Muzammer Rahman terpilih selepas memenuhi beberapa kriteria ditetapkan penganjur Anugerah Akademi atau Oscar.

FINAS dalam kenyataan menyebut, filem Prebet Sapu terbitan Le Mediator Studio, Kristal Azmir Sdn Bhd dan Konda Kondi Studio dipilih Jawatankuasa Pemilihan Filem FINAS dianggotai penggiat filem profesional dan berpengalaman.

Filem Prebet Sapu diterajui oleh Amerul Affendi dan Mei Fen Lim dan turut menampilkan Bront Palarae, Sharifah Amani, Nam Ron, Nadiya Nisaa, Chew Kin Wah, Jay Iswazir, Anas Ridzuan, Roslan Madun dan ramai lagi.

Filem ini dibikin dalam konsep hitam putih dan pernah mewakili Malaysia ke pelbagai festival filem antarabangsa termasuk Udine Far East Film Festival, Itali; Jogja-Netpac Asian Film Festival (JAFF) Indonesia; Toronto Reel Asian Film Festival, Kanada; Asian Film Festival Barcelona; Sepanyol dan Innovative International Film Festival di India.

Namun begitu, Prebet Sapu tidak berjaya masuk dalam senarai pendek Anugerah Akademi pada tahun ini. 

Misi kerajaan untuk tembus pentas Oscar 

FINAS ialah agensi di bawah seliaan K-KOMM yang berusaha untuk membawa filem-filem tempatan untuk bersaing di pentas antarabangsa sejak Januari 2021 menerusi kerangka ‘Road To Oscars’. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.