SAC Edisi ke-6 sasar lebih 400 penyertaan

Spread the love

KUCHING, 30 Ogos: Sarawak Adventure Challenge (SAC) dengan tema “The Dragon Trail” bakal berlangsung pada 23 Oktober depan dengan menyasarkan lebih 400 penyertaan untuk edisi kali ini.

Menteri Belia, Sukan dan pembangunan Usahawan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata untuk edisi kali ini, kampung Beliong menjadi lokasi bagi cabaran tersebut yang melibatkan laluan perlumbaan sejauh 52 kilometer.

Walaupun kawasan kampung Beliong tidak dikenali sebagai salah satu destinasi untuk sukan lasak atau aktiviti pengembaraan namum beliau percaya ia mampu memberikan cabaran kepada pengemar sukan berkenaan.

“Kebanyakan orang tidak menganggap kawasan ini sesuai untuk acara perlumbaan berunsur pengembaraan tetapi saya tahu ada beberapa peminat aktiviti berbasikal sering pergi ke situ untuk melakuan aktiviti tersebut disekitar kawasan terbabit.

“Bagaimanapun, daripada apa yang saya diberitahu, peserta SAC dinasihat untuk tidak memandang rendah cabaran dan kesukaran yang bakal di tempuhi dikawasan itu kelak,” katanya

Beliau berkata demikian pada sidang media Sarawak Adventure Challege (SAC) ” The Dragon Trail” di Kuching hari ini.

Menurut Abdul Karim, saingan pada kali ini bakal melibatkan laluan berbasikal lasak sejauh 40 kilometer dikuti 12 kilometer laluan larian melepasi kawasan komuniti setempat dan beberapa kawasan tarikan pelancong.

Katanya, pemilihan laluan yang akan digunakan itu secara tidak lansung menghubungkan pelbagai tarikan dikawasan tersebut yang berupaya menyediakan pelbagai pilihan aktiviti untuk pelancong dan penduduk setempat di masa akan datang.

“Pihak penganjur sentiasa memberikan perhatian khusus dalam mengatur perlumbaan yang melibatkan laluan tempatan, komuniti setempat yang akan melalui kawasan yang pastinya akan memberi pengalaman menarik kepada setiap peserta,” katanya

Dalam pada itu, Abdul karim yang juga Menteri Perlancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan turut optimis SAC dapat membantu Sarawak dalam usahanya memperkasa dan mempromosikan negeri itu sebagai salah satu destinasi untuk perlancongan sukan.

Kementerian Perlancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan juga katanya sentiasa memberikan sokongan mepada SAC sejak ia pertama kalinya dianjurkan oleh Draco Action Sport pada 2017.

“Perlumbaan ini juga turut mendapat sokongan padu dari pejabat Daerah Samarahan, ketua masyarakat dan peghulu setempat serta beberapa agensi lain seperti Polis, Bomba, Jabatan Rela, Angkatan Pertahan Awam dan juga Jabatan Kesihatan Daerah Samarahan,” katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.