Remaja perempuan 14 tahun dan pasangan mengaku tidak salah culik bayi

Spread the love

BUKIT MERTAJAM, 30 Ogos : Remaja perempuan bawah umur dan teman lelakinya dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menculik seorang bayi perempuan minggu lalu.

Tertuduh perempuan berusia 14 tahun dan tertuduh lelaki, Muhammad Azrin Budimaeng,18, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd. Akit.

Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama didakwa melarikan secara salah seorang bayi perempuan berusia sembilan bulan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Pangsapuri Idaman, Taman Pauh Perai di sini kira-kira pukul 5.30 petang pada 23 Ogos lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun dan juga boleh didenda jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Syafiq Nasrullah Saleem Ali manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Fatin Nabila Hussin.

Mahkamah membenarkan tertuduh masing-masing diikat jamin sebanyak RM5,000 beserta seorang penjamin.

Kes akan disebut semula 3 Oktober depan bagi serahan dokumen.

Terdahulu, TVS melaporkan polis menahan lima individu berusia 14 hingga 43 tahun di Machang Bubok di sini dan Kulim, Kedah selepas disyaki terbabit dalam kes penculikan bayi sembilan bulan.

Siasatan mendapati bayi itu dilarikan oleh seorang gadis bawah umur sambil dibantu beberapa suspek lain dengan alasan kerana dia terlalu comel. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.