PM Ismail Sabri pertimbang bentang Bajet 2023 jika peraturan benarkan

Spread the love

PUTRAJAYA, 30 Ogos : Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata beliau mempertimbangkan untuk membentangkan Bajet 2023 sekiranya perlembagaan dan perundangan membenarkannya.

Ismail Sabri berkata beliau akan menunggu nasihat Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun sekiranya beliau dibenar membentangkan Bajet 2023 pada 7 Okt nanti, sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan perundangan negara.

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-18 (MAPPA XVIII) di sini, hari ini, Ismail Sabri berkata beliau tidak boleh membentangkan Bajet 2023 jika bertentangan dengan peraturan atau undang-undang.

Pada 27 Ogos lepas, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan mendakwa Perdana Menteri akan membentangkan Bajet 2023.

“Belum tahu lagi. Setakat ini masih Menteri Kewangan (Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz) akan membentangkan (Bajet 2023).

“Kita kena tengok dari segi perlembagaan dan perundangan. Kalau tidak boleh, tak boleh lah. Kalau boleh, boleh dipertimbangkan,” kata Ismail Sabri ketika ditanya sama ada beliau akan membentangkan Bajet 2023.

Pada 26 Ogos lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dilaporkan berkata Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2023 akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 7 Okt pada sesi sidang Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen Ke-14 (2022) yang bermula pada 3 Okt.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata perbincangan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada malam 27 Ogos lepas berlangsung dalam suasana mesra dan tiada apa-apa isu.

“Kadang-kadang orang luar melihat lain daripada apa yang berlaku di dalam,” katanya ketika ditanya sama ada beliau ditekan untuk melepaskan jawatan Naib Presiden UMNO.

Beliau berkata perbezaan pandangan adalah perkara biasa dan perlu diraikan. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.