Kompleks Pentadbiran Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan akan dibina di Simunjan

Spread the love

SIMUNJAN, 30 Ogos : Kerajaan Sarawak bersetuju terhadap cadangan pembinaan kompleks pentadbiran kerajaan negeri dan pejabat agensi Kerajaan Persekutuan di sini, kata Dato Sri Nancy Shukri.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya itu berkata, perancangan itu mendapat ‘lampu hijau’ daripada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang mana ianya dijangka akan dilaksanakan secara berperingkat.

Katanya, kawasan pembangunan itu juga bakal dilengkapi dengan rumah kerajaan untuk pegawai kerajaan negeri dan pegawai kerajaan pusat.

“Projek ini merupakan salah satu daripada enam teras yang digariskan untuk pembangunan Batang Sadong dan Simunjan iaitu pembangunan infrastruktur dan fizikal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Sambutan Hari Kebangsaan 2022 Peringkat Simunjan di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris, Pemangku Pegawai Daerah Simunjan, Zainap Halip dan Pengerusi Kelab Persatuan Kebajikan Anak Jati Simunjan PERKAJAS, Abdul Latip Poli.

Sementara itu, Nancy menyeru agar rakyat di kawasan itu meningkatkan kebolehan masing – masing termasuk pendidikan dan aspek kemahiran.

Katanya, sebagai contoh Kerajaan Sarawak menyediakan Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) yang menawarkan pelbagai program latihan peningkatan kemahiran secara percuma malah turut menawarkan elaun kepada pelajarnya.

“Saya mahu penduduk Simunjan merebut peluang ini yang disediakan di beberapa tempat terpilih di Sarawak,”katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.