828 juta penduduk dunia tidur dalam kelaparan, jangan bazir makanan – CAP

Spread the love

GEORGE TOWN, 30 Ogos : Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkuasa mencari penyelesaian segera bagi menangani masalah pembaziran makanan di negara ini.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, adalah tidak wajar untuk banyak makanan dibuang ketika dunia berdepan krisis kebuluran dan keadaan bekalan makanan yang semakin tidak terjamin.

Katanya, pembaziran makanan adalah amalan yang memalukan pada waktu negara ini berdepan isu kenaikan kos sara hidup dan peningkatan harga makanan sehingga menyebabkan ramai pelajar universiti terpaksa mengikat perut.

“Walaupun berada dalam masa yang sukar ini, (segelintir) orang ramai (didapati) membuang makanan yang masih boleh dimakan dan amalan itu sama sekali tidak boleh diterima.

“Ia juga memerlukan kos yang tinggi kerana untuk melupuskan makanan yang dibazirkan oleh setiap isi rumah di Malaysia adalah mencecah RM210 sebulan atau RM2,600 setahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau lagi, menurut laporan, kira-kira 10 peratus daripada sampah yang dibuang setiap hari adalah makanan yang masih boleh dimakan.

“Rakyat Malaysia membuang 4,046 tan makanan yang boleh dimakan setiap hari.

“Jumlah ini boleh memberi makan tiga kali sehari kepada tiga juta orang dan ia cukup untuk memenuhkan satu setengah kolam renang bersaiz Olimpik,” ujar Mohideen.

Katanya, statistik daripada pengendali tapak pelupusan sampah, SWCorp Malaysia mendedahkan, rakyat di negara ini menjana 17,007 tan sisa makanan sehari pada 2021.

“76 peratus daripadanya tidak boleh dimakan seperti tulang dan kulit buah, manakala 24 peratus lagi masih boleh dimakan seperti sisa daging dan sayur-sayuran.

“Justeru langkah mengawal pembaziran makanan perlu dilakukan dengan pemantauan pihak berkuasa terhadap pihak restoran dan pengusaha kedai makan serta orang ramai,” ujarnya.

Sementara itu, Mohideen berkata, statistik menunjukkan pembaziran makanan memberikan kesan langsung secara global apabila ratusan juta masyarakat dunia tiada makanan setiap hari.

“Program Makanan Sedunia (WFP) baru-baru ini memberi amaran bahawa 828 juta orang tidur dalam keadaan lapar setiap malam, manakala mereka yang menghadapi masalah kekurangan makanan akut meningkat daripada 135 juta kepada 345 juta sejak 2019.

“Menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), 50 juta orang di 45 negara sedang menghadapi kebuluran di mana beberapa negara membangun terutamanya di Afrika serta Asia sedang menuju ke arah kelaparan dan kebuluran besar-besaran” katanya. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.