UMNO JB harap tidak kaitkannya dengan kes ugut, bakar pejabat

Spread the love

JOHOR BAHRU, 29 Ogos : Cara menyelesaikan sesuatu isu berkaitan politik melalui ugutan adalah di luar budaya dan bukan amalan ahli UMNO, kata Ketua Penerangan UMNO bahagian Johor Bahru, Saipuddin Yusoff.

Beliau yang merujuk kepada satu kes ugutan bunuh terhadap seorang Ahli Parlimen serta kebakaran pejabat sebuah parti politik semalam berkata, UMNO dan warga Johor menterjemahkan ketidakpuasan hati hanya melalui peti undi sepertimana yang berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Mac lepas.

“Diharap jangan sesekali ada mana-mana pihak mencari publisiti murahan dengan mengaitkan insiden itu dengan menuding jari kepada ahli UMNO Johor Bahru, sebelum lengkapnya siasatan pihak polis.

“Budaya samseng jalanan, peras ugut, reformasi dan merosakkan harta benda awam bukanlah budaya yang lahir dari DNA (asid deoksiribonukleik) UMNO sama sekali,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam media melaporkan Ahli Parlimen Johor Bahru Akmal Nasrullah Mohd Nasir mendakwa dirinya menerima ugutan bunuh daripada seorang pemilik akaun Facebook pada hari Khamis dan Jumaat lepas.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR itu pada masa sama dilaporkan berkata Pejabat Cabang PKR Johor Bahru di Larkin yang juga merupakan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Johor Bahru disyaki dibakar kira-kira 6 pagi, semalam. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.