Sektor kesihatan Sarawak harus miliki kepakaran setara

Spread the love

KUCHING, 29 Ogos: Dalam usaha Sarawak untuk bergerak ke hadapan, terutamanya dari sudut kesihatan, Sarawak harus memiliki kepakaran yang setara dengan negeri lain di Malaysia.

Menurut Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Dr Sim Kui Hian, peluang untuk mencapai tujuan tersebut dilihat amat besar dengan adanya Kertas Putih Kesihatan yang akan dibentangkan di Parlimen pada November nanti.

“Pembiayaan masih datang dari Kementerian Kesihatan (KKM). Kerajaan Sarawak juga telah menyentuh mengenainya yang mana mereka hanya perlu memberi pembiayaan dan Sarawak akan menguruskannya sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Alat Pengimbas Sistem Terkini Angiografi dan Angioplasti di Pusat Kecemerlangan Kardiologi, Pusat Perubatan Timberland (TMC), di sini hari ini.

Baru-baru ini, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin telah mengumumkan bahawa KKM kini sedang menyediakan Kertas Putih berhubung reformasi sistem kesihatan negara yang akan dibentangkan di Parlimen.

Dengan adanya Kertas Putih itu, Khairy berharap perkhidmatan KKM kepada pelanggan, skop tugasan dan kebajikan warga KKM akan dapat ditambah baik.

Sementara itu, mengenai peralatan yang telah ditambahbaik di TMC, beliau berkata pesakit serta pihak hospital akan mendapat manfaat daripadanya.

Ini kerana sistem pengimejan kardiovaskular digital akan memberikan imej yang lebih berkualiti pada tahap radiasi yang rendah.

Sistem tersebut juga dapat meningkatkan keupayaan pakar kardiologi TMC untuk menilai dan merancang prosedur yang lebih canggih dengan ketepatan yang lebih tinggi. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.