Sejarah panjang RTM untuk sumber maklumat rakyat Malaysia

Spread the love

KUCHING, 29 Ogos : Pada 1960, buat kali pertama, iklan komersial disiarkan di radio dan telah menjadi sumber pendapatan baharu kerajaan.

Ketika Malaysia dibentuk pada 16 September 1963, juruhebah bertugas menggunakan “INILAH RADIO MALAYSIA” yang dijadikan pengenalan oleh juruhebah ketika bertugas.

Bidang penyiaran membuka satu lagi lembaran dengan Angkasapuri memulakan siarannya pada 6 Oktober 1969.

Radio dan televisyen kemudian bergabung di bawah Kementerian Penerangan (kini Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia).

Pertumbuhan saluran pertama, Rangkaian Satu, menggalakkan pembentukan saluran kedua pada 17 November 1969.

Di Kompleks Angkasapuri, pembangunan pesat berlaku di bidang penyiaran sama ada radio atau televisyen.

Rangkaian radio nasional bermula 24 jam untuk memberi perkhidmatan kepada semua golongan pendengar terutama yang bekerja pada waktu malam.

Demikian serba sedikit mengenai sejarah panjang Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang masih utuh hingga ke hari ini.

Mempunyai pejabat di seluruh negara, RTM menetapkan misi untuk memenangi hati dan pemikiran rakyat melalui perkhidmatan radio, televisyen dan tidak terkecuali media baharu.

Ini ditetapkan bagi mencapai misinya yang mahu membina masyarakat bermaklumat melalui tiga medium yang disebutkan.

Menyedari saingan media yang semakin ‘sengit’ selain kemunculan media baharu yang kadang kala membuka persoalan mengenai kesahihan maklumat, RTM bertekad untuk memastikan penyampaiannya diyakini dan menjadi media pilihan utama.

Sejajar dengan perkembangan industri kreatif yang semakin pantas berubah, RTM juga telah membangunkan kandungan yang berkualiti, kreatif dan inovatif.

Seterusnya RTM juga akan memanfaatkan pembangunan infrastruktur penyiaran untuk liputan yang meluas dengan penggunaan teknologi terkini.

Komitmen itu dizahirkan menerusi kewujudan tiga saluran televisyennya iaitu TV1 , TV2 dan TV Okey serta dikukuhkan dengan Berita RTM dan Sukan RTM yang berjaya mengumpul penonton setianya yang tersendiri.

Sebagai saluran radio terbesar, RTM juga memberi perkhidmatan dan informasi kepada pendengar setianya menerusi tiga kategori utama iaitu saluran radio nasional, negeri dan tempatan.

Di peringkat nasional, RTM berjaya membina jenamanya dengan Radio Klasik, Nasional FM, Traxx FM, AI FM, MINNAL FM dan ASYIK FM.

RTM mempunyai stesen radio di 14 negeri dan semakin ‘dekat’ dengan pendengar setianya apabila turut menubuhkan stesen radio tempatan termasuklah Wai FM Iban,  Wai FM Bidayuh, Sri Aman FM, Bintulu FM, Sibu FM, Limbang FM, Miri FM, Tawau FM dan Langkawi FM.

Selain itu, RTM merupakan antara saluran media paling awal yang memperkenalkan web streaming TV dan radio sejak 1996.

Bermula 2012 perkhidmatan ini diperluaskan dengan penggunaan mobile streaming

Menuju ke arah pendigitalan yang semakin meledak, RTM akan meneruskan komitmennya untuk menyiarkan rancangan-rancangan radio dan TV yang bermutu tinggi, bersesuaian dengan dasar-dasar kerajaan dan aspirasi negara, memenuhi citarasa penonton dan pendengar. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.