Remaja perempuan 13 tahun maut, terjatuh dari tingkat 11 kondominium

Spread the love
 
GEORGE TOWN, 29 Ogos: Seorang remaja perempuan maut selepas dia terjatuh dari tingkat 11 sebuah kondominium di Persiaran Bayan Indah, Bayan Baru, di sini hari ini.
 
Kejadian itu disedari ibunya sekitar jam 6.30 pagi apabila dia mendapati mangsa berusia 13 tahun telah terjatuh dan ditemukan dalam keadaan tidak sedar di atas bumbung tempat letak kenderaan di bangunan itu.
 
Mangsa disahkan maut di tempat kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) dan ia ditemukan dalam keadaan tertiarap.
 
Menurut Pegawai Bomba Kanan II dari Balai Bomba dan Penyelamat Bayan Baru, Rohaizal Abdul Aziz, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.48 pagi sebelum pasukannya dikejarkan ke lokasi.
 
Menurut Rohaizal, pasukan bomba membantu pihak polis dan KKM untuk menurunkan mayat mangsa dari bangunan tersebut sebelum ia diserahkan kepada pihak polis.
 
“Pasukan bomba menurunkan (mayat) mangsa menggunakan tangga memandangkan ketinggian tempat dia terjatuh dengan lantai di bawah adalah kira-kira lima meter.
 
“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.45 pagi,” katanya kepada pemberita hari ini.
 
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Pulau Pinang di sini untuk urusan bedah siasat.
 
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal, mengesahkan kejadian tersebut ketika dihubungi media. – TVS

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.