Kebajikan rakyat Sarawak terus dititikberat

Spread the love

LAWAS, 29 Ogos : Sarawak tidak hanya dipacu untuk mengejar kemajuan dan kekayaan, sebaliknya ia juga ingin membina warga yang saling mempedulikan satu sama lain.

Peranan kerajaan adalah untuk membuka ruang kepada rakyatnya untuk berjaya dalam berbagai bidang, yang turut dilimpahi dengan kemunculan pihak yang sedia berkongsi nikmat-nikmat kehidupan dengan mereka yang kurang berkemampuan.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, melahirkan kesyukuran atas keprihatinan golongan korporat dan individu berkemampuan yang telah turut sama membantu rakyat yang susah.

“Hari ini melalui jelajah asnaf ini, mereka memberi bantuan. Ini adalah petanda yang begitu baik.

“Bukan sahaja daripada kerajaan, malah daripada masyarakat itu sendiri terlibat sama merealisasikan bersama konsep Keluarga Malaysia, dan ini adalah selari dengan dasar kita, iaitu untuk mewujudkan masyarakat yang prihatin,  di mana yang ada kemampuan membantu orang yang tidak ada kemampuan,” katanya pada Program Jelajah Asnaf bersama Aiman Group serta Majlis Penyampaian Geran MRP dan Penyerahan Pakej Pengurusan Jenazah kepada semua pengerusi masjid di Daerah Lawas semalam.

Awang Tengah yakin nilai-nilai ini dapat merapatkan hubungan antara golongan berkemampuan dengan mereka yang tidak berkemampuan.

Malahan amalan yang penuh keberkatan ini akan menjadikan Sarawak negeri yang makmur kerana semua rakyat dapat berkongsi nikmat yang mereka peroleh di Sarawak.

“Kita bukan sahaja berkongsi kebendaan tetapi membantu dari segi nasihat dan pandangan, yang juga penting. Ini juga akan mewujudkan satu masyarakat yang merasa sama nikmat pembangunan kita,” tambahnya.

Seramai 100 asnaf terpilih telah menerima sumbangan berupa makanan dan barangan keperluan daripada Aiman Group.

Terdahulu Pengarah Urusan Aiman Group, Samad Othman, memberitahu sumbangan ini diberikan di seluruh Sarawak.

Beliau juga menjelaskan siri jelajah ini bergerak setiap bulan ke beberapa daerah di Sarawak untuk menyantuni golongan kurang berkemampuan.

Hadir sama Timbalan Menteri Pengangkutan, Dato Henry Sum Agong, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa, Residen Bahagian Limbang, Sebi Abang, dan rakan niaga Kumpulan Aiman Group. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.