BKSS 9.0 bukti kerajaan Sarawak utamakan kesejahteraan rakyat – Fadillah

Spread the love

KUCHING 29 Ogos: Pengumuman Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS 9.0) dengan peruntukan RM1 bilion membuktikan kerajaan Sarawak pimpinan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sentiasa konsisten dalam menyantuni rakyat dan mengutamakan kebajikan serta kesejahteraan rakyat.

Menteri Kanan Kerja Raya, Dato’ Sri Fadillah Yusof, berkata pengumuman itu amat tepat pada masanya, ketika rakyat berdepan kenaikan kos sara hidup dan tekanan inflasi.

“Ia juga membuktikan kerajaan pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sentiasa mendengar denyut nadi dan keluh kesah rakyat.

Baca artikel berkaitan:

  1. 1.Kerajaan Sarawak umum BKSS 9.0 berjumlah RM 1 bilion
  2. 2.BKSS 9.0: Ini apa yang perlu anda tahu
  3. 3.BKKS 9.0 : Kek ekonomi dan keuntungan Sarawak dikongsi bersama rakyat, kata penganalisis

“BKSS 9.0 yang merangkumi lima bantuan itu akan dilaksanakan sepanjang enam bulan terakhir tahun ini bermula Julai hingga Disember 2022,” kata Naib Yang Dipertua Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) merangkap Ketua Whip GPS itu.

Daripada lima pakej tersebut, satu pakej baharu telah diperkenalkan, iaitu pelaksanaan Variasi Harga (VOP) 2.0.

Empat pakej sedia ada dikekalkan, seperti diskaun bil elektrik, diskaun bil air, diskaun taksiran cukai pintu serta diskaun 50 peratus sewa pasar dan gerai, untuk memastikan tiada lapisan rakyat yang terpinggir daripada bantuan yang disalurkan kerajaan negeri.

“Langkah kerajaan Sarawak mengumumkan pelaksanaan Variasi Harga (VOP) 2.0, membabitkan 25 bahan binaan tambahan (15 bahan tambahan untuk kerja-kerjapembinaan dan 10 bahan tambahan untuk kerja-kerja kejuruteraan) bagi menampung kenaikan harga bahan-bahan binaan untuk semua projek kerajaan negeri, diyakini mampu melonjakkan kembali sektor pembinaan di Sarawak,” kata Fadillah.

Ia akan membantu kontraktor di Sarawak berdepan kenaikan harga bahan binaan dan membantu mengelakkan kontraktor kecil daripada gulung tikar.

Menurut Fadillah, pelaksanaan VOP 2.0 di Sarawak dengan tanggungan kos RM700 juta oleh kerajaan negeri ini juga akan membantu memastikan projek kerajaan tidak terjejas serta dapat disiapkan mengikut jadual.

Pandemik COVID-19 telah menyebabkan kenaikan harga bahan binaan pada peringkat global, yang antara lain menjejaskan aktiviti pemprosesan sehingga menyebabkan kos bahan mentah meningkat.

Kenaikan ini juga disebabkan oleh perubahan dasar di negara lain, seperti China yang memutuskan untuk tidak mengeksport beberapa barangan.

Fadillah memaklumkan bahawa dalam pertemuannya dengan pemain dalam sektor pembinaan, khususnya kontraktor, di Semenanjung, Sabah dan Sarawak, isu kenaikan bahan binaan merupakan antara masalah utama yang disuarakan kerana ia amat membebankan mereka sehingga menjejas pelaksanaan projek. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.