BKKS 9.0 : Kek ekonomi dan keuntungan Sarawak dikongsi bersama rakyat, kata penganalisis

Spread the love

KUALA LUMPUR, 29 Ogos : Pengumuman Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 9.0 hari ini menunjukkan Kerajaan Sarawak berani berbelanja besar kerana mempunyai kewangan yang baik dan kukuh.

Pengerusi Pusat Kajian Pembangunan, Sosial dan Persekitaran, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Novel Lyndon berkata, pengumuman Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg juga menunjukkan kerajaan negeri berpaksikan rakyat.

Katanya, ini sekaligus menyerlahkan sifat bertanggungjawab Premier Sarawak itu yang inginkan kek ekonomi dan keuntungan dikongsi bersama rakyat.

Baca artikel berkaitan:

  1. 1.Kerajaan Sarawak umum BKSS 9.0 berjumlah RM 1 bilion
  2. 2.BKSS 9.0: Ini apa yang perlu anda tahu

“Pengumuman BKKS 9.0 merupakan keputusan tepat dan berani dalam keadaan ekonomi dalam dan luar negara yang tidak stabil disebabkan COVID-19 dan peningkatan kadar inflasi akibat konflik geo politik Rusia dan Ukraine.

“Saya secara peribadi melihat pakej ini menunjukkan Kerajaan Sarawak sangat prihatin, berjiwa besar dan menunaikan janji sebagai kerajaan yang kuat, stabil dan mesra rakyat,”katanya ketika dihubungi TVS di sini hari ini.

Novel berkata demikian sebagai mengulas BKKS 9.0 berjumlah hampir RM1 bilion yang diumumkan oleh Abang Johari bagi membantu meringankan beban kos sara hidup yang ditanggung oleh rakyat.

BKSS itu merangkumi lima langkah yang berkuat kuasa selama tempoh enam bulan mulai Julai hingga Disember tahun ini.

Satu pakej baharu diperkenalkan iaitu bahan binaan tambahan di bawah peruntukan untuk variasi harga (VOP) 2.0 manakala empat pakej sedia ada dikekalkan seperti diskaun bil elektrik, diskaun bil air, diskaun taksiran cukai pintu dan diskaun 50 peratus sewa pasar dan gerai.

Memperincikan pakej yang diumumkan, Novel berkata, apa yang menarik ialah dapat dilihat secara langsung kerajaan negeri memberi tumpuan kepada golongan B40, anak muda, peniaga dan penjaja yang terkesan akibat kenaikan kadar inflasi kesan daripada pandemik dan ketidaktentuan geo politik dunia.

“Ini akan mengurangkan beban yang ditanggung rakyat dan keluh kesah mereka manakala bagi tempoh masa panjang, ianya akan merancakkan ekonomi Sarawak,” katanya.

Sementara itu ditanya tentang bantuan atau inisiatif yang perlu diperkenalkan oleh Kerajaan Sarawak pada masa akan datang, Novel berkata, tumpuan perlu diberikan kepada warga miskin bandar akibat migrasi.

“Antara yang boleh dilaksanakan termasuklah skim perumahan mampu milik kepada anak muda Sarawak dan B40 serta kerajaan boleh membina projek pertanian di luar bandar,” katanya

Berhubung sektor ekonomi digital pula, beliau berkata, Kerajaan Sarawak juga mungkin boleh menimbangkan untuk menyediakan kemudahan internet percuma dengan tumpuan diberikan kepada kawasan luar bandar.

“Ini kerana internet bukan sekadar untuk berinteraksi sebaliknya mewujudkan perniagaan dan peluang pekerjaan,” katanya. -TVS

 


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.