Aaron, Wooi Yik bakal terima insentif lebih RM200,000

Spread the love

SEPANG, 29 Ogos : Beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang melakar sejarah merangkul kejuaraan pertama bagi Malaysia di Kejohanan Badminton Dunia 2022 di Tokyo, Jepun, akan menerima insentif wang tunai lebih RM200,000 setiap seorang.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata daripada jumlah tersebut, RM150,000 diberikan badan induk itu, manakala selebihnya daripada syarikat peralatan sukan Yonex selaku penaja.

Mohamad Norza juga memaklumkan beregu itu akan menerima RM20,000 setiap seorang menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Baca artikel berkaitan:

  1. 1. Strategi berhasil, beregu Malaysia raih gelaran pertama juara dunia – Rexy
  2. 2. Aaron-Wooi Yik muncul juara dunia
  3. 3.Lebih banyak kejayaan bakal menanti Aaron Chia – Wooi Yik

“Ini hanya peringkat awal. Apa yang saya boleh beritahu ialah saya akan berbincang dengan pihak kerajaan dan penaja bagi memastikan mereka menerima ganjaran sewajarnya,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini hari ini.

Katanya, beliau juga akan mencadangkan supaya jumlah insentif wang tunai SHAKAM dinaikkan sesuai dengan kejayaan beregu berkenaan.

“Saya akan mengusulkan kepada Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu untuk mempertimbangkan jumlah yang sepatutnya.

“Perbincangan juga akan dibuat bersama pemegang taruh yang lain supaya beregu ini diberi ganjaran yang sepatutnya,” katanya.

Pada kejohanan dunia itu semalam (Ahad), Aaron-Wooi Yik menewaskan juara dunia tiga kali, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan dari Indonesia 21-19, 21-14 untuk menamatkan penantian 45 tahun Malaysia meraih gelaran di kejohanan dunia, sekali gus menjadi wakil negara pertama yang memenangi pertandingan berprestij itu. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.