9.2 juta pelancong, sasaran MOTAC tahun ini

Spread the love

KUALA LUMPUR, 29 Ogos : Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) telah menyemak dan menetapkan sasaran baharu ketibaan pelancong 9.2 juta orang dengan terimaan pelancongan sebanyak RM26.8 bilion pada tahun ini.

Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata ia selepas negara hampir melepasi sasaran yang ditetapkan iaitu 3.21 juta ketibaan pelancong dan RM9.35 bilion pendapatan pelancongan direkodkan sejak Januari hingga Julai lepas berbanding sasaran yang ditetapkan iaitu 4.5 juta ketibaan pelancong dengan RM11.1 bilion bagi hasil pelancongan.

“Pencapaian ini hanya boleh dilakukan dengan inisiatif dan insentif yang giat, termasuk membawa masuk delegasi antarabangsa melalui acara perniagaan ke negara kita sejak pembukaan semula sempadan dan pelonggaran sekatan bagi kemasukan pelawat,” katanya.

Bercakap pada majlis 7th Meet in Malaysia @ Malaysia Business Events Week 2022 di sini hari ini, Nancy berkata seperti segmen pelancongan lain, acara perniagaan itu tidak dinafikan telah merangsang perniagaan untuk syarikat berkaitan hospitaliti.

Beliau berkata berdasarkan kajian yang disokong oleh pengalaman antarabangsa, pengunjung acara perniagaan berbelanja tiga kali lebih tinggi daripada purata pelancong dan mempunyai kesan pengganda yang besar.

“Kira-kira 40 peratus daripada mereka melancong bersama pasangan dan 60 peratus daripada mereka akan kembali semula sebagai pelancong,” dedah beliau.

Justeru, Nancy berkata dengan tema ‘Membentuk Semula Acara Perniagaan’ acara hari ini amat tepat pada masanya kerana MOTAC memberi tumpuan dan terus mengukuhkan proposisi nilai Malaysia sebagai destinasi acara perniagaan.

“Ini bermakna menggerakkan bakat, kepakaran, rangkaian industri serta sumber teknologi dan inovasi untuk menyediakan penyelesaian kreatif, di dalam dan di luar ekosistem acara perniagaan.

“Teknologi akan menjadi pemboleh utama dan kerjasama adalah penting untuk mempercepat pemulihan dan membina industri yang lebih berdaya tahan dan mampan,” katanya.

Majlis itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB) Datuk Seri Abdul Khani Daud dan Ketua Setiausaha MOTAC Datuk Saraya Arbi. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.