Sarawak tuntut hak – hak MA63 bukan kerana tidak patriotik – Awang Tengah

Spread the love

LAWAS, 28 Ogos : Tuntutan Sarawak terhadap hak – hak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bukanlah bermaksud negeri ini tidak patriotik, kata Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Timbalan Premier Sarawak itu berkata, ‘perjuangan’ berkenaan merupakan hasrat Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk kebaikan rakyat Sarawak serta selaras dengan pengiktirafan antarabangsa.

Katanya, Sarawak realistik dalam tuntutan berkenaan apabila ‘tidak berlebihan’ sebaliknya mematuhi perkara – perkara yang dipersetujui semasa pembentukan Malaysia.

“Sekiranya tidak ada MA63, tidak wujud Malaysia. Bagi Sarawak, kita memperjuangkan apa yang menjadi hak.

“Tindakan ini bukan bermaksud kita tidak mempunyai semangat patriotik sebagai warganegara Malaysia, bukan begitu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada majlis makan malam bersama peserta konvoi Kembara Merdeka Keluarga Malaysia di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pengangkutan, Dato Henry Sum Agong, Pengarah Penerangan Sarawak, Jaafar Jantan dan Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa.

Awang Tengah berkata, tuntutan yang dilakukan ialah untuk kebaikan Sarawak dan Malaysia.

“Kalau Sarawak maju, ia juga baik untuk negara kita pada keseluruhan,” ujarnya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.