Sarawak sambut baik cadangan penggunaan kanabis untuk perubatan

Spread the love

KOTA SAMARAHAN, 28 Ogos : Sarawak menyambut baik cadangan penggunaan kanabis untuk kegunaan perubatan dan aplikasi sudut penyelidikan.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perhubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, beliau melihat perkara itu sebagai satu idea yang baik sekiranya dapat membantu pesakit.

Namun tegas beliau yang juga Naib Presiden Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Sarawak, penggunaan bahan perlu dikawal mengikut prosedur perubatan dan kelulusan pakar.

“Jika ianya penting untuk perubatan maka perlu dilaksanakan tetapi tidak boleh disalahgunakan oleh masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Break Off Samarahan 2022 di sini hari ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pada lawatannya ke Bangkok, Thailand bagi menghadiri Mesyuarat Peringkat Tertinggi Kesihatan dan Ekonomi (HLMHE), Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) menyatakan Malaysia berminat untuk mendalami dan meneroka potensi penggunaan kanabis dalam bidang kesihatan.

Sementara itu, beliau memberitahu, Sarawak akan mempertimbangkan hukuman yang lebih berat terhadap pengedar dadah.

Katanya, cadangan itu dilihat sebagai satu langkah yang baik dalam membina komuniti bebas dadah dan mengawal penyalahgunaan bahan tersebut.

“Saya rasa ianya sesuatu yang kita boleh fikirkan kerana memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.