Sarawak belanjakan RM300 juta untuk kos operasi pemberian vaksin Covid-19

Spread the love

SIBU, 28 Ogos : Kerajaan Sarawak telah membelanjakan RM300 juta untuk operasi perkhidmatan vaksin COVID-19 di negeri ini.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah berkata, peruntukan itu disalurkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) termasuk bagi menyediakan kemudahan sokongan.

Katanya, kos itu tidak melibatkan pembelian vaksin kerana suntikan berkenaan disediakan oleh Kerajaan Persekutuan.

“Ini melibatkan perbelanjaan pengangkutan, makanan, bayaran hotel untuk kuarantin, hospital medan, ujian saringan dan perkhidmatan berkaitan,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Malam Penghargaan Petugas Barisan Hadapan COVID-19  Zon Tengah semalam.

Sementara itu, Douglas Uggah turut memberi penghargaan kepada petugas barisan hadapan yang terlibat dengan program vaksinasi di Sarawak.

“Proses vaksinasi di negeri kita bukanlah mudah kerana terdapat banyak kawasan terpencil yang sukar untuk dicapai.

“Sebagai contoh untuk menjalankan vaksinasi di hulu Baram, Batang Rajang dan kawasan terpencil lain memerlukan bot, helikopter dan kos minyak untuk ke sana,” jelasnya.

Katanya, keutamaan kerajaan adalah untuk menyelamatkan nyawa dengan memberi vaksin kepada seramai mungkin pada kadar yang pantas.

“Jika tiada peruntukan itu, mungkin program vaksinasi kita akan lambat.

“Namun di atas keprihatinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang meluluskan dana itu, kita mencatatkan kadar vaksinasi terpantas di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menyatakan kebimbangannya ekoran hanya 7.1 peratus individu yang layak telah mendapatkan suntikan dos penggalak kedua.

“Statistik ini sangat rendah, berkemungkinan orang ramai masih ragu-ragu untuk mendapatkan suntikan dan bimbang terhadap komplikasi,”katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.