Mohamaddin kini ahli Parti Bangsa Malaysia

Spread the love

KOTA KINABALU, 28 Ogos : Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohamaddin Ketapi secara rasmi menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) hari ini.

Bekas Menteri Pelancongan, Budaya dan Kesenian itu berkata, pemilihan PBM sebagai medan perjuangan terbaharunya adalah hasil penilaian dan penelitian perlembagaan parti yang memperjuang pelaksanaan hak dan autonomi Wilayah Borneo Malaysia seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Saya berpendapat bahawa penyatuan kuasa-kuasa rakyat dari kedua -dua Wilayah Borneo iaitu Sabah dan Sarawak merupakan penyelesaian kepada masalah kestabilan politik dan menjamin kesejahteraan rakyat terutama di Sabah,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mohamaddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Segama berkata, PBM telah meluaskan pengaruh di  Semenanjung Malaysia dan menampilkan barisan pimpinan yang mempunyai rekod khidmat baik serta tidak terpalit dengan skandal penyalahgunaan kuasa.

Pada masa sama katanya, PBM yang diterajui oleh Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien berupaya mencontohi pimpinan parti politik Sarawak yang boleh bersatu mempertahankan kuasa rakyat di wilayah itu dan menjadi king maker membentuk Kerajaan Persekutuan.

Sebelum ini, pada Oktober 2021, Mohamaddin mengumumkan keluar daripada Parti Warisan Sabah (Warisan) sebelum menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Bagaimanapun pada 22 Jun lepas Mohamaddin mengumumkan beliau tidak lagi menjadi ahli Bersatu.-TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.