Malaysia Airlines lancar penerbangan terus untuk laluan Kota Kinabalu-Singapura

Spread the love

KUALA LUMPUR, 28 Ogos : Malaysia Airlines mencapai satu lagi kejayaan dalam pelan pengembangan rangkaiannya dengan memperkenalkan laluan penerbangan terus yang baharu antara Kota Kinabalu dan Singapura, yang memulakan operasi semalam.

Penerbangan pertama itu diraikan dengan majlis sambutan untuk penumpang yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (BKI) pada 12:25 tengah hari waktu tempatan melalui penerbangan MH648 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Changi (SIN).

Kapten Izham Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Aviation Group, yang mengendalikan Malaysia Airlines, berkata laluan itu akan meningkatkan lagi kesalinghubungan dan fleksibiliti untuk penumpang yang menuju ke Singapura berikutan syarikat penerbangan itu turut menawarkan penerbangan terus ke negara tersebut melalui hab utamanya di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Kuching.

“Dengan perkhidmatan baharu ini, penumpang dari Singapura boleh dihubungkan dengan lancar ke negeri di bawah bayu itu untuk menemui tarikan indah di Sabah dan malah mengelilingi sekitar negeri dari BKI melalui syarikat penerbangan sekutu Firefly dan MASwings.

“Kami berharap dapat meningkatkan lagi pertumbuhan kami, memperkenalkan laluan strategik baharu dan meningkatkan kapasiti kami untuk mencapai lebih 70 peratus daripada kapasiti kami sebelum COVID-19 menjelang akhir tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah Noredah Othman berkata sejak pembukaan semula laluan SIN-BKI pada April, laluan itu mencatatkan aliran meningkat dengan 1,248 ketibaan pada Mei dan 3,051 ketibaan pada Jun.

“Dengan tambahan Malaysia Airlines, kami yakin trend ini akan berterusan,” katanya.

Malaysia Airlines akan melaksanakan penerbangan terus tiga kali seminggu pada Isnin, Khamis dan Sabtu, berlepas dari BKI-SIN melalui MH647 pada 07:00 pagi dan berlepas dari SIN-BKI melalui MH648 pada 10:00 pagi.

Penerbangan akan dikendalikan oleh pesawat B737-800, dilengkapi dengan 160 tempat duduk, terdiri daripada 16 tempat duduk untuk kelas perniagaan dan 144 tempat duduk untuk kelas ekonomi. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.