Taklimat BN fokus kepada gerak kerja hadapi PRU15

Spread the love

KUCHING, 27 Ogos : Taklimat yang diadakan oleh Barisan Nasional (BN) pada hari ini adalah untuk memastikan gerak kerja perikatan tersebut bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dapat berjalan lancar.

Penganalisis sosiopolitik, Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi, berkata, melihat daripada sudut pandang BN, PRU15 perlu diadakan segera kerana sentimen yang dimainkan pembangkang ketika ini dapat melemahkan sokongan kepada BN jika PRU15 diadakan pada tahun hadapan.

“Pembangkang akan menggunakan masa-masa yang ada untuk mengatur stratgei menewaskan Barisan Nasional.

“Seperti Pakatan Harapan, perikatan itu sudah bersetuju untuk menggunakan logo baharu, dan sudah tentu ia akan mengambil masa yang agak panjang,” katanya kepada TVS pada Sabtu.

Selain itu, katanya, kontroversi berhubung projek kapal tempur pesisir (LCS), yang terus dimainkan oleh pembangkang, boleh memberi persepsi yang buruk tentang BN dalam kalangan pengundi.

“Jadi, saya kira perkara ini yang dibimbangi mereka jika PRU15 diadakan pada tahun hadapan,” jelasnya.

Hari ini, Taklimat Khas oleh Presiden UMNO, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, diadakan bermula pada jam 2.00 petang di Dewan Merdeka dan Dewan Tun Razak 4, Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur.

Dalam taklimat tersebut, antara perkara yang dijangka disentuh adalah berkaitan isu-isu semasa, khususnya membabitkan BN secara keseluruhan, selain perkembangan terkini.

Sehubungan itu, semua ahli UMNO dan pendukung parti serta orang ramai dijemput untuk hadir bagi mendengar secara langsung taklimat yang disampaikan oleh Ahmad Zahid selaku Pengerusi BN. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.