Sarawak tekankan kerja penukaran paip air lama

Spread the love

KUCHING, 27 Ogos : Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak memberikan penekanan kepada projek yang melibatkan kerja-kerja penukaran paip lama kepada paip baharu ekoran isu kebocoran paip yang berlaku di kawasan Santubong baru-baru ini.

Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, berkata sebanyak RM4 bilion telah diperuntukkan bagi proses menaik taraf tersebut di bawah ‘Sarawak Water Supply Grid Programme’ yang bermula pada 2018 bagi mengurangkan kejadian paip pecah di Sarawak.

“Kita kerap menerima aduan paip-paip bocor kerana sebahagian daripada paip yang telah dipasang di sesetengah tempat di Sarawak sudah pun berusia, malah ada berusia lebih 30 tahun.

“Sekiranya paip tersebut diperbuat daripada ‘asbestos cement’ (AC pipe), maka paip itu mudah bocor setelah sekian lama terdedah kepada tanah, cuaca dan sebagainya,” katanya.

Dr Abdul Rahman, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai, menjelaskan, pembinaan stesen pam penggalak dan tangki air aras tinggi juga menjadi salah satu punca kebocoran pada paip penyambungan kerana berlakunya tekanan air yang lebih kuat.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Hari Potensi Kanak-Kanak Tabika KEMAS Peringkat Zon 1 Bahagian Kuching, di Dewan Yayasan Sarawak, di sini pada Jumaat.

Namun, pada masa sama, beliau meminta bantuan orang ramai untuk melaporkan kejadian paip pecah kepada pihak berkuasa supaya tindakan susulan dapat diambil secepat mungkin. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.