Pisahkan kuasa pendakwaan daripada Peguam Negara jika menang PRU15 – Zahid Hamidi

Spread the love

KUALA LUMPUR, 27 Ogos : Barisan Nasional (BN) mahu memisahkan kuasa pendakwaan daripada Jabatan Peguam Negara jika diberi mandat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN dan UMNO juga bertekad untuk mengangkat agenda pembaharuan sebagai tawaran kepada rakyat Malaysia.

“Ini agar pengimbangan kuasa dapat diwujudkan dalam mencapai keadilan buat semua.

“Pendirian kita jelas iaitu tidak mahu institusi perundangan atau penguatkuasaan diperalat oleh tangan – tangan yang berkepentingan,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Taklimat Khas Presiden UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini petang tadi.

Taklimat berkenaan diadakan sebagai serampang dua mata bagi menjelaskan pendirian parti terhadap isu – isu semasa selain memberi sokongan kepada bekas Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak yang kini dipenjarakan.

Pada Selasa lepas, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta ke atas Najib yang didapati bersalah pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

Yang turut hadir, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor dan anaknya, Nooryana Najwa Najib serta kira -kira hampir 3,000 ahli parti.

Sementara itu, ucapan Ahmad Zahid selama hampir 45 minit ‘sering terganggu’ dengan laungan bubar oleh sebahagian besar ahli yang berada dalam dewan berkenaan.

Desakan itu dipercayai menuntut supaya PRU15 diadakan segera.

Menyambut ‘laungan’ itu, Ahmad Zahid meminta supaya ahli BN dan UMNO supaya bersedia untuk menghadapi PRU15 yang dijangka akan diadakan pada ‘bila – bila masa’.

“Kemenangan besar BN adalah pengukuhan kepada obor-obor perjuangan Dato’ Sri Najib untuk parti dan negara.

“Kami percaya, kerajaan kepimpinan Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob tidak akan membiarkan harapan ini pudar sekiranya tarikh PRU dilengahkan,” katanya.

Beliau turut memberitahu, mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO malam ini akan turut membuat keputusan selaras dengan ‘mandat’ yang diberi oleh ahli -ahli UMNO dalam Dewan Merdeka hari ini. -TVS

 


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.