Perpindahan penduduk kampung ke Darul Hana jadi contoh bagi perpindahan lain

Spread the love

KUCHING, 27 Ogos : Perpindahan ke Darul Hana yang melibatkan penduduk kampung di kawasan Seberang Hilir merupakan yang pertama di Sarawak, dan ia akan menjadi contoh bagi penduduk di kawasan-kawasan lain yang akan dipindahkan pada masa akan datang di negeri ini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata pembangunan Darul Hana secara menyeluruh yang dilaksanakan oleh kerajaan Sarawak akan menjadi aset dan menambah nilai kepada masyarakat Melayu di kawasan tersebut.

“Hari ini, kita akan menyaksikan perpindahan penduduk ke Darul Hana, dan ketika ini kawasan di Kemuyang, Sibu, di Kampung Datu, sudah siap dibina seperti di kawasan ini juga.

“Selain itu, Kampung Melayu di kawasan Kabong juga sedang diusahakan buat masa ini dan ditembok terlebih dahulu sebelum membina rumah,” katanya.

Abang Johari berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah, Cek Pampasan Tanah dan Kunci Rumah Darul Hana serta Perasmian Surau Blok 1A Darul Hana di sini pada hari ini.

Selain itu, katanya, penduduk di kawasan Pusa, Asajaya dan Gedong juga telah menyatakan hasrat yang sama untuk memiliki kawasan perumahan yang baharu seperti di Darul Hana.

Abang Johari memberitahu, sejak beliau menjadi pemimpin kepada rakyat di Sarawak, beliau telah menambah dana untuk menaik taraf dan membangunkan negeri ini.

Pada majlis berkenaan, seramai 337 ketua isi rumah (KIR) dari Kampung Semarang, Kampung Panglima Seman Lama dan Lot Tambahan terlibat dalam perpindahan fasa pertama ke kawasan Darul Hana, manakala seramai 454 pemilik tanah berdaftar turut menerima cek pampasan.

Surau baharu yang dibina di Blok 1A Darul Hana melibatkan kos sebanyak RM4.28 juta dan dapat menampung seramai 460 jemaah. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.