Pembentangan bajet diawalkan, tidak mustahil PRU15 tahun ini

Spread the love

KUCHING, 27 Ogos : Bajet 2023 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 7 Oktober akan datang memungkinkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan pada hujung tahun ini.

Penganalisis sosiopolitik, Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi, berpandangan bahawa ia tidak mustahil kerana situasi ini juga bukan sesuatu yang baharu.

“Ini bukan sesuatu yang mengejutkan ataupun sesuatu yang baharu mahupun luar biasa kerana pada zaman Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri, ketika beliau memerintah 22 tahun yang lalu, pernah berlaku pada satu ketika beliau mengumumkan belanjawan negara. Kemudian selepas selesai sahaja pembentangan itu, beliau membubarkan Parlimen,” katanya ketika dihubungi TVS pada Sabtu.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Dato Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, memaklumkan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2023 akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 7 Oktober.

Beliau berkata belanjawan itu akan dibentangkan pada sesi Sidang Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen Ke-14 (2022) yang akan bermula pada 3 Oktober.

Menurutnya, takwim sebelum ini sepatutnya bermula pada 26 Oktober hingga 15 Disember 2022, iaitu selama 31 hari bagi Dewan Rakyat, dan 8 hingga 22 Disember 2022 bagi Dewan Negara, manakala takwim baharu yang dicadangkan adalah pada 3 Oktober hingga 29 November 2022 bagi Dewan Rakyat, iaitu selama 32 hari, dan 21 November hingga 7 Disisember 2022 bagi Dewan Negara.

“Perubahan ini berikutan terdapat keperluan bagi kerajaan untuk meminda takwim Mesyuarat Ketiga ini bagi mempercepatkan pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2023,” katanya. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.