Pasangan suami isteri maut dalam nahas jalan raya di Sibu

Spread the love

SIBU, 27 Ogos : Sepasang suami isteri maut dalam nahas jalan raya melibatkan dua buah kenderaan di Jalan Ulu Oya di sini pada awal pagi hari ini.

Mangsa, yang berusia 42 dan 32 tahun, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala dua lagi mangsa yang mengalami kecederaan dalam kereta yang sama telah dihantar ke Hospital Sibu untuk menerima rawatan.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili, berkata kemalangan itu berlaku apabila sebuah kenderaan jenis Toyota Vellfire dan kereta Perodua Axia bertembung di lokasi kejadian sekitar jam 1.30 pagi.

Katanya, dalam kemalangan itu, pemandu Toyota Vellfire yang berusia 37 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Hasil siasatan polis mendapati kemalangan itu berlaku apabila kenderaan jenis Toyota, yang datang dari arah Jalan Kemuyang menuju ke pusat bandar, bertembung dengan kereta Perodua Axia, yang dinaiki empat orang, dari arah bertentangan, terbabas dan masuk ke laluannya sebelum terbalik,” Zulkipli memberitahu dalam satu kenyataan pada hari ini.

Akibatnya, dua penumpang di tempat duduk belakang kereta Perodua Axia mengalami cedera parah dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan ambulans Hospital Sibu di tempat kejadian.

Pasangan suami isteri yang maut difahamkan mempunyai dua orang cahaya mata berusia 13 dan sembilan tahun.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.