Pasangan kekasih disambung reman bantu siasatan kes culik bayi

Spread the love

BUKIT MERTAJAM, 27 Ogos : Seorang remaja perempuan dan teman lelakinya disambung reman sehingga 30 Ogos ini bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang bayi perempuan berusia sembilan bulan diculik dari rumah pengasuhnya di Bukit Tengah di sini Selasa lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata tiga lagi yang sebelum ini ditahan bersama pasangan kekasih itu bagi membantu siasatan dibebaskan dengan jaminan polis.

“Remaja perempuan berusia 14 tahun dan teman lelakinya yang berumur 18 tahun itu sahaja disambung reman empat hari bagi membantu siasatan dan berdasarkan siasatan serta arahan daripada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya, kedua-duanya akan didakwa di mahkamah pada Selasa ini. (30 Ogos)

Manakala tiga lagi yang turut ditahan iaitu rakan lelaki mereka (pasangan kekasih), ayah tiri dan ibu kepada kekasih remaja perempuan itu dibebaskan dengan jaminan polis, mereka akan jadi saksi pendakwaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas mengadakan lawatan ke rumah ibu bapa bayi perempuan yang menjadi mangsa culik itu di sebuah pangsapuri di Taman Pauh di sini hari ini bagi melihat perkembangan bayi itu

Baca lagi > > > Gadis 14 tahun antara yang ditahan kes culik bayi

Mohd Shuhaily berkata setakat ini, berdasarkan siasatan mendapati kejadian itu tiada elemen mahu menjual bayi berkenaan kepada sesiapa atau sindiket menjual bayi seperti yang tular sebelum ini.

Sementara itu, ibu kepada bayi tersebut Farisha Amirah Zainal, 24, berkata anaknya berada dalam keadaan sihat dan selamat ketika ditemui semula namun sehingga kini dia serta suaminya Mohamad Rahimi Abdul Malik,26, masih trauma dengan kejadian berkenaan.

Katanya, beliau yang bekerja kilang telah mengambil keputusan untuk terus berhenti kerja dan mahu menjaga sendiri anak tunggal mereka itu kerana bimbang kejadian serupa berlaku pada masa hadapan malah turut masih trauma dengan insiden berkenaan.

“Berdasarkan pemeriksaan doktor sebaik ditemui semula, anak saya sihat cuma sejak kejadian itu dia selalu terkejut atau menangis semasa tidur waktu malam, mungkin sebab masih terkejut namun Alhamdulillah kami bersyukur dia ditemui selamat,” katanya.

Beliau berkata mereka sekeluarga berterima kasih kepada pihak polis kerana tindakan pantas mereka telah berjaya menahan semua suspek dan menjumpai semula anaknya dalam keadaan selamat dan sihat walaupun sepanjang dilarikan bayi tersebut hanya diberikan susu pekat dicampur air bersama cucur udang sahaja.

Dalam kejadian itu pada Selasa lepas, polis menahan lima individu dan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah(SPT) ACP Tan Cheng San dilaporkan berkata mereka terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita yang berusia 14 hingga 43 tahun itu ditahan dalam serbuan di Machang Bubok, di sini dan Kulim, Kedah pada hari sama ekoran laporan polis dibuat bapa bayi itu. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.