Malaysia, Thailand setuju percepat pelaksanaan projek infrastruktur di sempadan – Fadillah

Spread the love

BANGKOK, 27 Ogos : Malaysia dan Thailand bersetuju untuk menggerakkan usaha bagi mempercepatkan pelaksanaan projek infrastruktur, khususnya di sempadan, supaya aktiviti perdagangan dan hubungan antara rakyat kedua-dua negara dapat dipertingkatkan demi kesejahteraan bersama.

Menteri Kanan Kerja Raya, Dato’ Sri Fadillah Yusof, berkata Malaysia dan Thailand melihat kepentingan untuk memastikan projek infrastruktur di sempadan diberi perhatian serius.

Projek berkenaan termasuk pembinaan Jambatan Rantau Panjang–Sungai Golok, Jambatan Pengkalan Kubor–Tak Bai, dan jajaran jalan yang menghubungkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dengan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao yang baharu di Songkhla.

“Rundingan antara Malaysia dan Thailand bagi projek-projek ini telah tertangguh disebabkan oleh pandemik COVID-19,” katanya kepada BERNAMA.

Beliau menambah bahawa Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, dan rakan sejawatannya di Thailand, Prayuth Chan-o-cha, pada Februari lalu bersetuju agar kedua-dua negara mempercepatkan rundingan bagi pelaksanaan projek-projek tersebut.

Fadillah, yang kini dalam lawatan kerja ke Bangkok, Thailand, telah mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri, Prawit Wongsuwan, pada Jumaat, dan Menteri Pengangkutan, Saksayam Chidchob, pada Khamis.

Lawatan kerja ini bertujuan untuk membincangkan usaha bagi meningkatkan lagi kerjasama antara Malaysia dan Thailand berhubung pelaksanaan projek infrastruktur yang melibatkan kedua-dua negara.

Sementara itu, Fadillah berkata Prawit juga membangkitkan isu pagar sempadan atau single barrier fencing antara kedua-dua negara, terutamanya di Sungai Golok.

“Perkara ini akan dipanjangkan kepada Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein,” katanya. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.