Lima penghuni hilang tempat tinggal, rumah musnah terbakar

Spread the love

SIBU, 27 Ogos: Lima anggota sebuah keluarga hilang tempat tinggal selepas rumah mereka musnah dijilat api dalam satu kebakaran di Jalan Ing Guang, Sungai Bidut, tidak jauh dari bandar ini, pada awal pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah, Timbalan Penguasa Bomba, Abdul Mutalif Ja’afar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 12.59 tengah malam.

Menurutnya, sepasukan anggota dari BBP Sungei Merah telah dikerahkan ke lokasi tersebut untuk menjalankan operasi pemadaman.

“Kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis tidak kekal satu tingkat berkeluasan 20×30 kaki persegi yang telah terbakar 100 peratus,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Abdul Mutalif memberitahu, sebuah kereta Toyota Avanza dan tiga buah motosikal yang diletak berhampiran rumah turut terjejas dan musnah terbakar.

Menurutnya, pasukan bomba berjaya memadam kebakaran dengan menggunakan satu aliran dua nozel sumber air dari pili bomba berhampiran, dan mengawal kebakaran daripada merebak ke bangunan tadika bersebelahan.

“Tiada mangsa cedera atau kehilangan jiwa dilaporkan dalam kejadian tersebut,” kata Abdul Mutalif, sambil menambah punca kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan pihak penyiasatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sibu.

Seramai 13 anggota bomba terlibat dalam operasi pemadaman tersebut. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.